BIBD promosi Brunei sebagai destinasi pelaburan serantau

BIBD promosi Brunei sebagai destinasi pelaburan serantau

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Ogos – Dalam usaha untuk mempromosikan Brunei Darussalam sebagai sebuah destinasi pelaburan serantau, Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) telah mengambil inisiatif untuk mengambil bahagian dalam seminar mengenai kerjasama Kewangan China-ASEAN yang berlangsung di Beijing, China, baru-baru ini.

Hadir bagi mewakili BIBD pada seminar tersebut ialah Ketua Perhubungan Kerajaan dan Projek-projek Khas, BIBD, Haji Mohd Yusri bin Haji Wahsalfelah dan Ketua Pejabat Perwakilan BIBD Singapura, Klaus Tay Chee Wah.

Seminar yang bertemakan ‘The Belt and Road Initiative and Regional Financial Cooperation’ itu merupakan sebahagian daripada skim perkongsian latihan dan pengalaman di bawah rangka kerja Persatuan antara Bank China-ASEAN, (CAIBA).

Seminar ini juga merupakan platform bagi negara-negara anggota untuk bertukar-tukar pendapat dan berkongsi pengalaman mengenai isu-isu kewangan dan pembangunan yang meliputi kerjasama kewangan antarabangsa dan serantau, kerelevanan kewangan Islam dalam menyokong kerjasama kewangan, pengangkutan dan infrastruktur pembinaan, pembangunan dan pembiayaan PKS, silang perdagangan mata wang dan kewangan serta pengurusan risiko.

Semasa seminar tersebut, BIBD turut menyampaikan idea kerjasama kewangan serantau yang mempamerkan peluang kerjasama kewangan di Negara Brunei Darussalam termasuk projek berpotensi yang berkaitan dengan pembangunan infrastruktur.

Sesi bergambar ramai bersama anggota negara ASEAN yang menghadiri seminar tersebut.
Sesi bergambar ramai bersama anggota negara ASEAN yang menghadiri seminar tersebut.

Seminar ini juga memberi peluang BIBD dalam usaha mereka untuk membangunkan dan menggalakkan Brunei sebagai destinasi pelaburan kepada pegawai-pegawai kanan daripada ahli CAIBA serta pengawal selia kewangan dari negara-negara CLMV (Kemboja, Laos, Myanmar, Vietnam).

Di samping itu juga, BIBD telah mencapai kemajuan untuk mewujudkan pemahaman yang lebih baik terhadap kewangan Islam dalam kalangan ahli-ahli CAIBA terhadap pertumbuhan pesat dan potensi kewangan Islam.

BIBD merupakan sebahagian daripada persatuan sebelas ahli yang terdiri daripada institusi kewangan terkemuka dari semua negara ASEAN dan China.

CAIBA ditubuhkan bertujuan untuk mencapai pembangunan sosial dan ekonomi yang saling menguntungkan dengan mempromosikan perdagangan bersama dan pelaburan, pembiayaan, dan menyediakan perkhidmatan kewangan yang berkaitan untuk pembinaan infrastruktur dan projek-projek lain yang disokong oleh kerajaan negara-negara ahli ASEAN dan China.

ARTIKEL YANG SAMA