BIBD rai pelajar cemerlang PSR

BIBD rai pelajar cemerlang PSR

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Jan – Usaha gigih dan pencapaian para guru serta pelajar-pelajar di bawah Program ALAF yang mencapai kecemerlangan dalam Peperiksaan PSR 2015 telah diraikan oleh Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) dalam Majlis Penyampaian Sijil Penghargaan kepada Pasukan Petugas ALAF dan Penyampaian Hadiah Insentif kepada para pelajar tersebut, baru-baru ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh BIBD, sijil-sijil penghargaan dan hadiah insentif pada majlis berkenaan telah disampaikan oleh Ketua Hubungan Kerajaan dan Projek-projek Khas, Haji Minorhadi bin Haji Mirhassan.

Majlis tersebut diadakan sebagai menghargai sokongan berterusan yang diberikan kepada Program ALAF BIBD oleh Pasukan Petugas ALAF yang terdiri daripada pegawai-pegawai dari Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), di mana sokongan mereka dapat memastikan kesejahteraan dan keperluan pendidikan pelajar-pelajar ALAF diberikan perhatian di peringkat rendah, menengah dan universiti.

Kenyataan tersebut juga menjelaskan bahawa kerjasama yang erat itu telah membawa kepada pelaksanaan pelbagai inisiatif dan kegiatan berguna seperti kem motivasi ALAF yang bermatlamat untuk membangunkan rasa penghargaan dan minat yang kuat dalam kalangan pelajar terhadap Program ALAF.

Haji Minorhadi ketika menyampaikan sijil dan hadiah insentif pada majlis tersebut.
Haji Minorhadi ketika menyampaikan sijil dan hadiah insentif pada majlis tersebut.

pg05_160125_d

Kegiatan-kegiatan yang dilaksanakan itu diharap mampu untuk mengerakkan usaha mereka bagi mencapai keputusan lebih cemerlang dalam pendidikan, di samping mempersiapkan mereka dengan kemahiran yang diperlukan bagi masa hadapan.

Dalam menyokong usaha yang dilaksanakan oleh Program ALAF itu, beberapa buah syarikat tempatan seperti Syarikat Pustaka Remaja Sdn Bhd dan Syarikat Teras Maju Sdn Bhd turut terlibat dan tampil ke hadapan dengan memberikan sumbangan sebanyak 14 unit Al-Quran digital sebagai sebahagian daripada hadiah galakan bagi pelajar-pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan PSR mereka.

Timbalan Ketua Perbankan Runcit BIBD, Hajah Nurul Akmar dipetik sebagai berkata, penghargaan dan sokongan berterusan di semua peringkat yang diterima daripada pertubuhan bukan kerajaan bagi pelajar-pelajar berkenaan dalam ekspedisi amal pada 2015 adalah di luar jangkaan.

Beliau turut mengambil kesempatan untuk menyatakan penghargaan kepada semua pihak atas sumbangan dan penyertaan mereka dalam memastikan perkembangan berterusan Program ALAF.

Program ALAF telah dilancarkan pada Mei 2013 oleh Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah dengan kerjasama Kementerian Pendidikan dan KHEU bagi memastikan kerjasama rapat antara semua pihak supaya pelaksanaannya serta peruntukan bantuan untuk Program ALAF dapat dikendalikan dengan jayanya.

Para pelajar di bawah Program ALAF menerima bantuan bayaran yuran sekolah dan tuisyen, alat tulis, pengangkutan dan keperluan makanan serta keperluan-keperluan lain.

Semua ini bertujuan memastikan pelajar-pelajar terbabit dapat memberikan sepenuh tumpuan terhadap kemajuan pendidikan mereka tanpa perlu memikirkan komitmen yang lain.

Program tersebut juga akan terus menyediakan bantuan dan sokongan kepada para pelajar tersebut sehingga mereka tamat pengajian.

Menerusi program itu, BIBD berharap ia mampu merealisasikan dan menyokong Wawasan 2035 untuk mencapai tahap 100 peratus penduduk yang berpendidikan, berkemahiran tinggi serta berjaya selaras dengan standard antarabangsa, di samping dapat mengurangkan kemiskinan, sekali gus menjadikan negara ini lebih aman dan makmur.

Selain daripada mengambil bahagian dalam acara seperti CE ALAF, orang ramai yang ingin memberi sumbangan kepada Tabung ALAF BIBD, bolehlah membuat sumbangan derma minimum sebanyak $1.01 ke dalam akaun ALAF BIBD, 1018181811.

Sumbangan juga boleh dibuat dengan mudah melalui rangkaian BIBD yang sedia ada seperti laman sesawang BIBD Online, aplikasi BIBD Mobile, BIBD ATM dan CDM atau kaunter-kaunter cawangan BIBD.

Orang ramai juga boleh membuat arahan tetap BIBD bagi memastikan bahawa sumbangan bulanan dapat disalurkan ke dalam Tabung ALAF.

Di samping itu, bagi pemegang akaun BIBD, mereka juga boleh mengumpul mata hadiah BIBD dengan membuat sumbangan ke dalam akaun Tabung ALAF.

ARTIKEL YANG SAMA