BIBD Securities terima kunjungan pelajar UTB

BIBD Securities terima kunjungan pelajar UTB

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Ogos – Sekumpulan sembilan orang pelajar jurusan Sarjana Muda Ekonomi Gunaan dan Kewangan bersama dua pensyarah dari Universiti Teknologi Brunei (UTB) telah mengadakan lawatan sambil belajar ke pejabat BIBD Securities di Kiulap, hari ini.

Lawatan tersebut bertujuan untuk memperkenalkan serta mendidik pelajar-pelajar ekonomi dan kewangan mengenai produk-produk dan perkhidmatan BIBD Securities dalam bidang sekuriti Islam, kata satu kenyataan yang dikeluarkan oleh BIBD hari ini.

Selain itu, mereka turut diberi taklimat mengenai saham-saham yang mematuhi Syariah, proses saringan, peraturan pematuhan, peranan dan implikasi berhubung penubuhan sebuah pasaran saham di Brunei Darussalam.

Rombongan pelajar dari UTB bergambar ramai bersama warga BIBD Securities.
Rombongan pelajar dari UTB bergambar ramai bersama warga BIBD Securities.

Taklimat bercorak interaktif itu dikendalikan oleh Penolong Pengurus Am BIBD Securities, Awang Jeffri Ahmad Said. Juga hadir ialah Pengarah Urusan BIBD Securities, Haji Minorhadi bin Haji Mirhassan.

Taklimat tersebut memberi peluang kepada para pelajar untuk berdialog dengan pegawai-pegawai dari BIBD Securities serta mempelajari konsep-konsep penting serta perkembangan dalam dunia Sekuriti Islam.

ARTIKEL YANG SAMA