BIBD semakin kukuh

BIBD semakin kukuh

Oleh Siti Nur Wasimah S.

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Nov – Projek Pengubahsuaian Ibu Pejabat dan Cawangan Utama Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) yang mengambil masa kira-kira 12 bulan adalah untuk memastikan keutuhan berterusan struktur serta aspek-aspek keselamatan pembinaan bangunan.

Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Paduka Haji Bahrin bin Abdullah selaku Pengerusi BIBD, menjelaskan peluang ini turut dimanfaatkan bagi memodenkan bangunan Ibu Pejabat dan Cawangan Utama BIBD di samping menaik taraf ruang kerja dalaman bangunan ini agar lebih kondusif untuk pencapaian mutu kerja yang lebih tinggi.

Selain itu, ia turut memudahkan lagi pemberian perkhidmatan dan urusniaga yang lebih efisien dan mesra pelanggan selaras dengan hasrat dan tujuan penjenamaan semula BIBD, ujar beliau lagi semasa menyampaikan sembah alu-aluan pada Majlis Pembukaan Semula Ibu Pejabat dan Cawangan Utama BIBD, di ibu negara, hari ini. Berangkat menyempurnakan pembukaan semula Ibu Pejabat dan Cawangan Utama BIBD itu ialah Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Malik.

Dalam sembah alu-aluannya itu, Yang Berhormat Dato Paduka Haji Bahrin seterusnya menjelaskan, lebih kurang 22 tahun yang lalu pada 13 Januari 1993, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah melancarkan peralihan model perbankan bagi ‘The International Bank of Brunei’ daripada perbankan konvensional kepada perbankan patuh-syariah, sekali gus memperkenankan penukaran nama bank tersebut kepada The Islamic Bank of Brunei Berhad (IBB).

Menurut Yang Berhormat Menteri Pembangunan lagi, setelah lebih 20 puluh tahun, bangunan ini dimanfaatkan sebagai ibu pejabat kepada bank IBB dan telah melalui beberapa proses transformasi dan dikenali sebagai Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) Berhad.

Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Malik berkenan merasmikan pembukaan semula Ibu Pejabat dan Cawangan Utama BIBD, kelmarin.
Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Malik berkenan merasmikan pembukaan semula Ibu Pejabat dan Cawangan Utama BIBD, kelmarin.

“Alhamdulillah, setelah lebih dua dekad institusi kewangan Islam bertapak di negara kita ini, ia telah menampakkan pertumbuhan yang sangat menggalakkan dan telah dapat merealisasikan aspirasi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam agar negara kita menyebarluaskan syiar Islam melalui perbankan yang berlandaskan Syarak.

“Ini sekali gus membuktikan bahawa sistem kewangan Islam adalah progresif dan mampu berdaya saing di pasaran kewangan tempatan dan antarabangsa.”

Menurut Menteri Pembangunan lagi, berkat wawasan jauh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dua dekad yang lalu dan dokongan yang tidak jenuh daripada semua pihak yang berkepentingan di sektor kerajaan terutama sekali Kementerian Kewangan dan Autoriti Monetari
Brunei Darussalam serta para pemegang saham serta para pelanggan bank, perbankan Islam telah diperkembangkan dan diperkukuhkan di negara ini.

Pada 30 Oktober yang lalu, BIBD telah menerima pengiktirafan Kredit A-(Stabil) daripada organisasi piawaian antarabangsa yang terkemuka dan berkecuali iaitu Standard & Poor’s.

Dengan pengiktirafan ini, ia merupakan pengakuan akan kekukuhan aset serta pengurusan perniagaan dan kewangan BIBD setanding dengan bank-bank terkemuka yang lain di samping membuktikan sistem kewangan Islam di negara ini amat kukuh.

Menurut Yang Berhormat Dato Paduka Haji Bahrin lagi, BIBD juga terus kompetitif dalam memantapkan prestasi meskipun tahun kewangan 2014 merupakan tahun yang mencabar bagi institusi-institusi kewangan dengan persekitaran makroekonomi yang tidak menentu.

“Alhamdulillah, Kumpulan BIBD sekali lagi berjaya mencapai prestasi yang cemerlang dengan mencatatkan peningkatan prestasi kewangan melebihi 15 peratus berbanding tahun kewangan 2013. Ini telah mengukuhkan lagi bahagian pasaran BIBD dengan mencapai lebih 40 peratus daripada keseluruhan keuntungan industri perbankan.”

Beliau melahirkan harapan agar pencapaian ini akan lebih memberi keyakinan kepada anak-anak tempatan yang memainkan peranan penting dalam pencapaian tersebut bahawa orang ramai berkemampuan untuk membawa jenama BIBD ke peringkat yang lebih tinggi dan bersaing pada peringkat antarabangsa, bagi memastikan aspirasi dan Wawasan Negara 2035 akan dapat didokong bersama sepenuhnya.

ARTIKEL YANG SAMA