BIBD serah zakat perniagaan hampir $3 juta

BIBD serah zakat perniagaan hampir $3 juta

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Jun – Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), hari ini, telah menyerahkan zakat berjumlah $2,981,665.86 yang terdiri daripada zakat perniagaan bagi tahun 2015 sebanyak $2,612,091.93 dan zakat pelanggan BIBD sebanyak $369,573.93 kepada Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB).

Majlis penyerahan zakat-zakat berkenaan berlangsung di Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) dan diterima oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.

Pada majlis itu, zakat perniagaan telah diserahkan oleh Setiausaha Tetapnya, Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Mohd Yusof manakala zakat pelanggan BIBD diserahkan oleh Pengarah Urusan BIBD, Mubashar Khokar.

Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz menyerahkan replika cek bagi zakat perniagaan kepada Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama.
Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz menyerahkan replika cek bagi zakat perniagaan kepada Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama.
Yang Berhormat Pehin Ustaz Haji Awang Badaruddin menerima replika cek bagi zakat perniagaan yang disampaikan oleh Mubashar Khokar.
Yang Berhormat Pehin Ustaz Haji Awang Badaruddin menerima replika cek bagi zakat perniagaan yang disampaikan oleh Mubashar Khokar.

Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Dato Paduka Haji Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud selaku Naib Yang Di-Pertua MUIB, Pemangku Setiausaha Majlis Ugama Islam, Haji Hamzah bin Haji Sabtu dan Timbalan Setiausaha Tetap di KHEU, Awang Roslan bin Haji Taja’ah.

Wang zakat yang diterima ini akan diagihkan kepada asnaf zakat yang berhak di negara ini yang terdiri daripada asnaf fakir miskin, mualaf, amil, al-gharimin dan ibnu sabil.

MUIB mempunyai bidang kuasa dalam pengurusan dan pengendalian kutipan dan agihan wang zakat berdasarkan kepada peruntukan undang-undang seperti yang termaktub dalam Akta Majlis Ugama Islam Brunei dan Mahkamah-mahkamah Kadi Penggal 77, Pindaan 1984 iaitu menerusi Bab-bab 114 hingga 121 dan Peraturan Zakat dan Fitrah 1969.

ARTIKEL YANG SAMA