BIBD sertai dialog di Jakarta

BIBD sertai dialog di Jakarta

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Jun – Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), baru-baru ini, telah menyertai Muzakarah Cendekiawan Syariah Nusantara ke-9 yang berlangsung di Hotel Millennium, Jakarta, Indonesia pada 10 dan 11 Jun lalu.

Menurut kenyataan BIBD, di sini, hari ini, penganjur dialog berkenaan, Akademi Penyelidikan Syariah Antarabangsa bagi Kewangan Islam telah bekerjasama dengan Universiti Islam Negeri Syarif Hidayatullah bagi membincangkan muzakarah yang membawa tema “Produk Kewangan Islam Kontemporari yang Inovatif bagi Pembangunan Sosioekonomi Orang Islam”.

Perbincangan menumpukan ke atas isu-isu kewangan semasa berkaitan dengan “Pembiayaan dan Penstrukturan Semula” dan “Pengaplikasian Hajah (keperluan) dalam Produk-produk Inovatif”.

Ahli Lembaga Penasihat Syariah BIBD dan Pengarah Pusat Penyelidikan Mazhab Shafi’i di Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Dr Abdul Nasir bin Haji Abdul Rani terlibat dalam perbincangan pertama mengenai konsep Hajah dan pengaplikasiannya dalam kewangan Islam.

Pada hari kedua, Pengurus Produk BIBD, Hajah Adina binti Haji Jamudin terlibat dalam perbincangan mengenai pengaplikasian konsep pematuhan syariah dalam pembangunan dan menawarkan produk yang akan memberi manfaat sosioekonomi kepada komuniti Muslim, terutamanya dalam segmen bukan perbankan.

Antara delegasi Brunei yang terlibat dalam muzakarah berkenaan.
Antara delegasi Brunei yang terlibat dalam muzakarah berkenaan.

Produk-produk ini boleh menjadi kenyataan dengan mengukuhkan kerjasama di antara institusi-institusi kewangan Islam dan institusi kewangan sosial untuk menggunakan Wakaf, Zakat, pengurusan harta Islam, pembiayaan mikro dan Takaful mikro.

Dialog turut membincangkan produk-produk pembiayaan berasaskan ekuiti seperti Musyarakah yang boleh digunakan dalam pengurusan harta Islam yang mana kedua-dua pihak mendapat faedah daripada perkongsian kewangan.

Menurut kenyataan itu, antara objektif utama dialog berkenaan adalah untuk mewujudkan persefahaman bersama di antara cendekiawan Syariah di rantau ini menerusi perbincangan akademik mengenai pelbagai isu berkaitan dengan kewangan Islam.

Selain itu, ia juga berfungsi sebagai platform serantau bagi cendekiawan, ahli-ahli akademik dan para pengamal kewangan Islam untuk berkongsi idea, pengetahuan dan pengalaman, serta untuk berkongsi perkembangan terkini dalam industri kewangan Islam.

Turut serta dalam rombongan perwakilan BIBD itu ialah Pengerusi Lembaga Badan Penasihat Syariah BIBD dan Timbalan Mufti Kerajaan, Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Paduka Setia Raja Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Suhaili bin Haji Mohiddin, serta ahli-ahli lembaga berkenaan, Ketua Penyelidikan Jabatan Mufti Kerajaan, Dr Haji Mazanan bin Haji Yusof.

BIBD juga diwakili oleh Ketua Jabatan Syariah, Hajah Hanifah binti Haji Jenan dan Pembantu Pengurus Syariah, Awang Muhammad Takzimallah bin Haji Ahmad Sanuddin.

Acara dua hari itu telah dilancarkan oleh Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia, dan dihadiri oleh kira-kira 100 delegasi yang terdiri daripada para cendekiawan, ahli akademik dan pengamal-pengamal kewangan Islam.

ARTIKEL YANG SAMA