BIBD siapkan generasi pemimpin perbankan

BIBD siapkan generasi pemimpin perbankan

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Ogos – Dua orang kakitangan kanan Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), baru-baru ini, telah mengikuti Program Kepimpinan Kewangan Islam Cambridge (IFLP) 2016 yang berlangsung selama lima hari di Clare College, University of Cambridge, United Kingdom.

Dua orang kakitangan berkenaan ialah Pengurus Kanan Perbankan Pedagang, Awang Abdul ‘Azim bin Haji Mohammad dan Timbalan Bersama Bendahari, James Chua Pheng Kyan.

BIBD dalam kenyataannya di sini, hari ini, menjelaskan bahawa program berkenaan dianjurkan untuk menyediakan generasi pemimpin cemerlang akan datang dalam perbankan dan kewangan Islam dengan memberikan mereka peluang-peluang bimbingan unik, latihan kepimpinan rapi daripada pemimpin-pemimpin terkemuka dan juga menyediakan perspektif khusus industri menerusi kajian kes.

Program berkenaan direka supaya ia memberikan para delegasi akses langsung kepada pemimpin-pemimpin global yang berjaya dan pakar-pakar pengurusan dalam perbankan dan kewangan Islam.

Menurut BIBD lagi, dalam program tersebut, Awang Abdul ‘Azim juga menerima Anugerah Kepimpinan Kewangan Islam Cambridge setelah menjadi antara lima peserta paling cemerlang, di samping Sijil Kepimpinan Perbankan dan Kewangan Islam Cambridge, menunjukkan kemahiran Brunei dalam kewangan Islam dalam kalangan pemimpin-pemimpin dunia.

Kakitangan BIBD bergambar ramai dengan delegasi lain di Program Kepimpinan Kewangan Islam Cambridge (IFLP) 2016.
Kakitangan BIBD bergambar ramai dengan delegasi lain di Program Kepimpinan Kewangan Islam Cambridge (IFLP) 2016.
Salah seorang kakitangan BIBD menerima sijil selepas menamatkan Program IFLP di Clare College, University of Cambridge, UK.
Salah seorang kakitangan BIBD menerima sijil selepas menamatkan Program IFLP di Clare College, University of Cambridge, UK.

Penyertaan dalam acara berkenaan, jelas BIBD, adalah selaras dengan misi dan strategi mereka untuk melahirkan profesional-profesional bertaraf dunia yang akan menyokong pelan pembangunan jangka panjang Brunei, Wawasan Brunei 2035, supaya negara diiktiraf bagi kejayaan-kejayaan rakyatnya yang berpendidikan dan berkemahiran.

Program berkenaan turut merangkumi siri perbincangan dan temu bual dengan beberapa orang ketua pegawai eksekutif dan pakar termasuk Ahli Lembaga Pengarah BIBD dan Ketua Pegawai Eksekutif Fajr Capital, Dato Paduka Iqbal Khan yang juga telah menyampaikan ucaptama pada acara itu.

IFLP 2016 telah menarik penyertaan dari United Kingdom, Timur Tengah, Afrika, Asia Tenggara, Eropah dan Amerika Syarikat. Lebih 50 orang mentor, speaker dan delegasi mengambil bahagian dalam program kepimpinan global berkenaan, yang direka khas bagi kakitangan pengurusan peringkat pertengahan dan atasan pertengahan institusi-institusi kewangan Islam.

ARTIKEL YANG SAMA