BIBD terima anugerah Bank Runcit Terbaik

BIBD terima anugerah Bank Runcit Terbaik

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Mac – Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) telah dianugerahkan sebagai Bank Runcit Terbaik di Brunei bagi Tahun 2016 oleh The Asian Banker (TAB), mempertahankan penganugerahan berprestij itu buat tahun keempat berturut-turut.

Dalam kenyataannya memaklumkan berita gembira itu, BIBD berkata, majlis penganugerahan berkenaan telah diadakan pada Konvensyen Kecemerlangan Dalam Perkhidmatan Kewangan Runcit Tahunan TAB yang berlangsung di W Hotel, Hong Kong, baru-baru ini.

Hadir menerima anugerah berkenaan bagi pihak BIBD ialah Timbalan Ketua Perbankan Runcit, Hajah Nurul Akmar binti Haji Mohd Ja’afar.

Mengulas mengenai anugerah itu, Pengarah Urusan BIBD, Mubashar Khokhar berkata bahawa BIBD berterima kasih kepada kerajaan Brunei Darussalam bagi dasar-dasar yang kondusif, para pelanggan BIBD bagi sokongan mereka dan kakitangan BIBD bagi perkhidmatan contoh mereka.

Pada masa yang sama, tambahnya, BIBD berasa bangga kerana diiktiraf sebagai Bank Runcit Terbaik di Brunei buat empat tahun berturut-turut. Ia menjadi bukti untuk semua usaha yang dilakukan ke arah menjadi pilihan pertama bagi pelanggan mereka.

Hajah Nurul Akmar mewakili BIBD ketika menerima anugerah tersebut pada majlis penyampaiannya di Hong Kong baru-baru ini.
Hajah Nurul Akmar mewakili BIBD ketika menerima anugerah tersebut pada majlis penyampaiannya di Hong Kong baru-baru ini.

Beliau juga menekankan bahawa anugerah itu menjadi peringatan kepada mereka untuk memastikan bahawa mereka terus memberikan pengalaman perbankan terbaik kepada para pelanggan, membantu mereka mencapai aspirasi mereka sendiri.

Sementara itu, TAB pula menyatakan bahawa BIBD dipuji atas peningkatan jumlah kewangan pelanggan meskipun dalam keadaan pasaran yang mencabar.

Walaupun dengan trend menurun dalam keuntungan keseluruhan sistem perbankan, aset dan deposit di Brunei, BIBD masih mencari ruang untuk Perkembangan, sementara mengekalkan nisbah delikuensi yang rendah berbanding bank-bank lain.

Ini, menurut TAB lagi, membawa kepada pertumbuhan dua digit dalam aset-aset runti dan penambahbaikan dalam keuntungan dan hasil.

Kenyataan daripada TAB itu juga menyebut keupayaan BIBD dalam memperbaiki keupayaannya untuk menjadi bank pilihan pelanggan yang termasuk maklum balas positif daripada pelanggannya.

Antara semua bank di Brunei, BIBD secara konsisten berada di atas dalam tinjauan kepuasan pelanggan. Antara penambahbaikan yang dilaksanakannya adalah Platform Digital Cawangan, penyelesaian sehenti bagi produk-produk deposit dengan format tanpa kertas serta pemprosesan lancar dengan pembayaran automatik.

Menurut BIBD, kira-kira 200 orang pegawai bank kanan dari bank-bank menerima anugerah di 29 buah negara, seluruh Asia Pasifik, Timur Tengah, Asia Tengah dan Afrika, menghadiri majlis berkenaan yang mengiktiraf usaha-usaha mereka dalam membawakan produk-produk dan perkhidmatan unggul kepada pelanggan mereka.

Program anugerah itu, dikendalikan oleh TAB dan diadili oleh pengurus-pengurus bank, konsultan dan ahli-ahli akademik global terkemuka, merupakan yang paling berprestij sejenisnya.

Proses penilaian ketat selama tiga bulan berdasarkan kad skor keseimbangan dan telus, menentukan pemenang Anugerah Kecemerlangan Dalam Perkhidmatan Kewangan Runcit TAB dan menentukan kedudukan pelbagai bank runcit di rantau ini.

ARTIKEL YANG SAMA