BIBD terima anugerah

BIBD terima anugerah

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 April – Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), baru-baru ini, telah menerima Anugerah Juara Perkembangan Bakat Kewangan Islam dalam Kategori Antarabangsa pada Majlis Anugerah Pensijilan ke-3 Institut Perbankan Kewangan Islam Malaysia (IBFIM), yang diadakan di Mahkota Ballroom, Hotel Istana, Pusat Bandar Kuala Lumpur.

Juga dalam Kategori Antarabangsa, seorang kakitangan BIBD, Dayangku Noruldiana Shim binti Pengiran Haji Hashim menerima Anugerah Prestasi Tertinggi dalam Kategori Perancang Kewangan Islam (IFP).

Mengulas mengenai pengiktirafan BIBD itu, Penolong Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Kewangan BIBD, Hajah Noraini binti Haji Sulaiman dipetik sebagai berkata, “Program ini juga membenarkan BIBD mengembangkan keupayaan untuk menyediakan penyelesaian kewangan Islam dan pengurusan kekayaan yang lebih berkesan untuk pelanggan kami.

“Usaha-usaha ini juga mencerminkan usaha berterusan kami untuk memenuhi permintaan pelanggan kami yang semakin meningkat bersama pembaharuan dalam produk kewangan Islam,” tambahnya.

Hajah Noraini menerima Anugerah Juara Perkembangan Bakat Kewangan Islam daripada Tun Dr. Mahathir.
Hajah Noraini menerima Anugerah Juara Perkembangan Bakat Kewangan Islam daripada Tun Dr. Mahathir.
Dayangku Noruldiana Shim menerima Anugerah Prestasi Tertinggi dalam Kategori Perancang Kewangan Islam (IFP).
Dayangku Noruldiana Shim menerima Anugerah Prestasi Tertinggi dalam Kategori Perancang Kewangan Islam (IFP).

Majlis itu merupakan pengiktirafan kepada pemegang sijil IBFIM berkelayakan serta pengiktirafan kepada pertubuhan yang telah menyokong inisiatif perkembangan bakat IBFIM dengan menganugerahkan mereka Anugerah Juara Perkembangan Bakat Kewangan Islam berprestij itu.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, di sini, hari ini, BIBD mempunyai 42 orang perancang kewangan Islam bertauliah (IFP), empat di antara mereka juga Pakar Runding Kewangan Berkanun (ChFC), yang mana jumlah ini sering meningkat tatkala semakin ramai kakitangan BIBD mendaftarkan diri untuk menjadi perancang kewangan bertauliah.

Program IFP ialah kelayakan profesional yang ditubuhkan dalam kerjasama di antara IBFIM dan Persatuan Perancang Kewangan Malaysia (FPAM) dengan tujuan menghasilkan pakar dalam perancangan kewangan dan pengurusan kekayaan untuk memenuhi standard kecekapan yang semakin berkembang dan amalan etika profesional perancangan kewangan.