BIBD terima kunjungan CBI

BIBD terima kunjungan CBI

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Mei – Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), semalam, telah menerima lawatan delegasi dari Bank Antarabangsa Komersial (CBI), Amiriah Arab Bersatu.

Menurut kenyataan BIBD, lawatan itu bertujuan untuk memupuk hubungan lebih baik dan persefahaman antara kedua-dua institusi perbankan kelas dunia yang pernah meraih anugerah itu serta berkongsi amalan terbaik mengenai kemajuan teknologi dalam pengurusan pelanggan dan juga keupayaan-keupayaan perbankan progresif lain.

Ketibaan delegasi yang diketuai oleh Ketua Pegawai Operasi CBI, James Nelson Parker di Ibu Pejabat BIBD, dialu-alukan oleh Pemangku Pengarah Urusan BIBD, Hajah Noraini binti Haji Sulaiman, dan Ketua Pegawai Operasi BIBD, Dr Gyorgy Ladics.

Hajah Noraini dipetik sebagai berkata; “Perkongsian dengan institusi kewangan kelas dunia seperti CBI membolehkan BIBD untuk memudahkan mempertingkatkan perkongsian maklumat dan pertukaran amalan terbaik untuk terus meningkatkan produk dan perkhidmatan kami.

“Ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan untuk memastikan kami terus relevan dan menjadi pilihan pertama bagi semua pelanggan kami di Brunei dan di seberang sana.”

Gambar ramai antara pegawai kanan pengurusan BIBD bersama delegasi CBI.
Gambar ramai antara pegawai kanan pengurusan BIBD bersama delegasi CBI.
Semasa lawatan delegasi CBI di Ibu Pejabat BIBD.
Semasa lawatan delegasi CBI di Ibu Pejabat BIBD.

Menurut kenyataan itu lagi, lawatan tersebut memberikan peluang bagi BIBD dan CBI untuk terlibat dalam dialog dua hala yang mana kedua-dua bank bertukar-tukar idea tentang penggunaan teknologi sebagai pembeza untuk meningkatkan penglibatan pelanggan dan kepakaran global mereka dalam kewangan Islam.

Platform ini juga membolehkan BIBD untuk memperlihatkan kemampuan kewangan dan perbankan Brunei dan juga pencapaian, terutamanya di arena kewangan antarabangsa.

BIBD juga mengongsi aplikasi perbankan fizikal dan digitalnya, dan mengaturkan lawatan ke cawangannya di Kiulap, Pusat Perhubungan dan ruang Perdana bagi tawaran perbankan’istimewa bank ini.

CBI yang diiktiraf sebagai ‘Bank Yang Paling Pesat Berkembang’ dan ‘Bank Paling Bertambah Baik’ oleh Banker Middle East dalam tahun 2013, dijangka meluaskan kehadirannya di Timur Tengah, dengan pembelajaran penting daripada kejayaan BIBD dalam menempa dirinya sebagai bank ulung di Brunei serta usaha penjenamaan semulanya baru-baru ini.

ARTIKEL YANG SAMA