BIBD terima rating A

BIBD terima rating A

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Nov – Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), baru-baru ini, telah menerima rating A – Stabil daripada penyedia penyelidikan dan tanda aras risiko kredit bebas terkemuka di dunia, Standard and Poor’s (S&P), yang mengesahkan ketahanan dan kekukuhannya, sekali gus menjadikannya bank paling selamat di Negara Brunei Darussalam.

Mengulas mengenai rating kredit berkenaan, Pengarah Urusan BIBD, Javed Ahmad menjelaskan, ia merupakan penilaian ke atas keupayaan sesuatu entiti untuk membayar kewajipan-kewajipan kewangan mengikut terma tertentu.

Rating kredit di samping laporan-laporan trend industri, katanya, boleh menjadi alat berguna apabila membuat keputusan pelaburan.

Ia mungkin menawarkan pandangan alternatif kepada penganalisis kewangan dan membolehkan pelabur membandingkan risiko antara pelaburan-pelaburan dalam portfolio mereka.

Menurut beliau lagi, penilaian ini penting kepada sesebuah organisasi seperti BIBD kerana ia merupakan satu ukuran kepada kualiti pengurusan kewangan, dan dengan rating yang baik akan memberikan keyakinan kepada pelanggan dan pihak berkepentingan, malahan membuka lebih banyak peluang perniagaan dan pelaburan pada masa depan.

Menyentuh mengenai rating A – Stabil yang diterima oleh BIBD, beliau berkata ia di atas tanda aras industri, sekali gus memberikan gambaran hebat mengenai asasnya yang kukuh dan menjadikannya sebagai bank yang mendapat penarafan tertinggi dan paling selamat di Brunei.

Beberapa faktor utama yang menyumbang kepada kejayaan BIBD antaranya, aset yang kukuh dengan jumlah aset sebanyak $7.7 bilion bagi Kumpulan dan $7.3 bilion bagi Bank setakat 31 Disember 2014, dan BIBD mempunyai rangkaian pembahagian terbesar di Brunei dengan pasaran saham deposit sebanyak 32 peratus.

Selain daripada itu, BIBD mempunyai permodalan yang kukuh, menurut S&P, nisbah Risk-Adjusted Capital (RAC) sebelum pempelbagaian akan mencapai kira-kira 21 peratus dalam tempoh 12 hingga 18 bulan seterusnya.

Faktor-faktor lain termasuk kecairan kukuh, yang mana BIBD mempunyai nisbah aset cair meluas berbanding pembiayaan borong jangka pendek sebanyak 10 kali ganda setakat penghujung Disember 2015, serta pengurusan risiko yang bijak.

Javed Ahmad seterusnya menekankan, rating A ini mengukuhkan lagi keupayaan-keupayaan mereka dalam menguruskan modal BIBD dan menunjukkan pendekatan mereka dalam mengendalikan kepentingan para pemegang saham dan pelanggan.

ARTIKEL YANG SAMA