BIBDS sertai Pesta Ria Kewangan

BIBDS sertai Pesta Ria Kewangan

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Mei – BIBD Securities (BIBDS) juga tidak ketinggalan untuk mengambil bahagian dalam Pesta Ria Kewangan yang berlangsung di Taman Permainan Jerudong, kelmarin.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), penyertaan BIBDS dalam acara itu dihasratkan untuk memberikan orang ramai kefahaman yang lebih baik mengenai kesihatan kewangan mereka dan untuk memadankannya dengan penyelesaian kewangan yang sesuai bagi keperluan mereka.

Di samping itu, ia juga untuk meningkatkan lagi kefahaman mengenai perancangan kewangan yang lebih baik khususnya dalam kalangan golongan belia, BIBDS juga melaksanakan beberapa kegiatan pendidikan.

BIBDS juga mempromosikan faedah mempunyai pelan kewangan yang kukuh terutama dengan khidmat nasihat perancang kewangan yang diiktiraf serta juga memberikan peluang kepada orang ramai untuk mempelajari mengenai produk-produk pengurusan harta yang ditawarkan oleh BIBDS.

Aktiviti yang dijalankan semasa Pesta Ria Kewangan yang berlangsung di Taman Permainan Jerudong.
Aktiviti yang dijalankan semasa Pesta Ria Kewangan yang berlangsung di Taman Permainan Jerudong.

Pengarah Urusan BIBDS, Haji Minorhadi bin Haji Mirhassan dipetik menyatakan penghargaan kepada Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD) kerana menyediakan platform bagi mereka untuk mendekati orang ramai serta menyatakan bahawa pihaknya akan menggunakan peluang yang diberikan sebaik-baiknya untuk menyokong inisiatif memberikan kefahaman kepada orang ramai mengenai keupayaan kewangan dan merancang dengan lebih baik untuk masa depan mereka.

Beliau juga menyatakan penghargaan atas peluang yang diberikan untuk mendidik golongan muda mengenai pentingnya mengamalkan budaya menyimpan yang sihat yang setentunya akan memanfaatkan generasi negara yang akan datang.

Pesta ria itu merupakan salah satu kegiatan yang diadakan bersempena dengan Hari Menabung Kebangsaan AMBD yang akan diadakan pada 28 Mei nanti dengan tujuan untuk menggalakkan budaya menyimpan dan pengurusan wang yang berhemat serta secara langsung meningkatkan literasi kewangan di Brunei terutama dengan peningkatan kesedaran mengenai perkhidmatan dan produk-produk kewangan yang terdapat di Brunei.

BIBDS juga merancang untuk mengadakan taklimat perancangan kewangan dan pelaburan sebagai sebahagian daripada komitmennya untuk meningkatkan literasi kewangan di Brunei.

ARTIKEL YANG SAMA