Bicara bekas diktator Chad disambung semula

Bicara bekas diktator Chad disambung semula

DAKAR, 7 Sept (dpa) – Perbicaraan jenayah perang ke atas bekas presiden Chad Hissene Habre disambung semula hari ini di Dakar, ibu negara Senegal, 45 hari selepas beliau dan peguamnya memboikot mahkamah berkenaan.

Perbicaraan tersebut menandakan kali pertama bekas presiden negara Afrika berdepan dengan pengadilan di sub-sahara, dengan kira-kira 2,500 mangsa diktator berkenaan mengemukakan testimoni mereka.

Bagaimanapun Habre – yang dikatakan mencegah sebarang bentuk penentangan sepanjang pemerintahannya bermula dari 1982 sehingga 1990 dengan menggunakan sistem penahanan, penderaan, penyeksaan dan pembunuhan – enggan untuk memperakui kesahan mahkamah berkenaan.

Beliau yang terpaksa dibawa secara paksa ke kamar mahkamah tidak berdiri atau memberikan respons apabila dipanggil oleh hakim ketika perbicaraan bermula pada julai. Beliau turut berteriak ketika perbicaraan berlangsung.

Sementara itu mahkamah sudah melantik pasukan peguam baru untuk mewakili Habre bagi perbicaraan seterusnya.

Kumpulan hak asasi menuduh bekas pemimpin berusia 72 tahun itu bertanggungjawab ke atas kematian 40,000 orang ketika pemerintahannya. Beliau turut dibicarakan kerana jenayah ke atas kemanusiaan, jenayah perang dan penyeksaan.

Kes Habre akan didengar di depan Kamar Bicara Afrika, mahkamah khas jenayah yang ditubuhkan oleh Kesatuan Afrika (AU) dalam lingkungan sistem mahkamah Senegal.

ARTIKEL YANG SAMA