Bicara hati atau ikatan persahabatan

ULASAN SIRI TV OLEH RUZAINI HAJI DAUD

 

MERUPAKAN salah satu daripada drama Korea yang paling dinantikan pada Julai 2017, The King Loves merupakan sebuah siri drama yang membariskan pelakon-pelakon terkemuka Korea seperti seperti Siwan, Hong Jong Hyun, dan Yoona sebagai teraju utama.

Siri drama ini menampilkan latar lokasi pada era Kerajaan Goryeo di mana ia menonjolkan mengenai tiga individu yang berasal dari keluarga ternama yang bersahabat baik iaitu Wang Won, Wong Rin dan Eun San.

Bagaimanapun perhubungan tiga sahabat baik itu agak sedikit tercalar tatkala Wang Won dan Wong Rin jatuh cinta terhadap seorang gadis bernama Eun San yang dilakonkan oleh Yoona.

Hakikatnya ia adalah merupakan sebuah drama yang diadaptasi dari sebuah novel terkenal berjudul Wangeun Saranghanda yang ditulis oleh Kim Yi Ryung dan pertama kali diterbitkan pada bulan Ogos 2011.

Dalam siri drama yang diarahkan oleh Kim Sang Hyub ini, Siwan melakonkan watak Wang Won yang merupakan seorang putera mahkota Goryeo yang memiliki penampilan menarik namun dia juga memiliki hasrat untuk menjadi seorang pemerintah yang berjaya.

Barisan pelakon utama yang membintangi siri drama The King Loves.
Barisan pelakon utama yang membintangi siri drama The King Loves.

Wang Won telah menjalinkan hubungan baik dengan Wang Rin lakonan Hong Jong Hyun yang merupakan salah satu daripada keturunan keluarga ternama dan dilantik menjadi pengawalnya.

Sementara itu, Eun San lakonan Yoona pula muncul secara tiba-tiba di hadapan kedua orang pemuda tersebut.

Eun San adalah seorang puteri yang dilahirkan dari golongan kerajaan yang kaya. Ketiga-tiga individu itu akhirnya menjadi teman baik, namun keadaan berubah setelah Wang Won dan Wang Rin sama-sama jatuh cinta pada Eun San.

Lalu apakah hubungan persahabatan di antara dua sahabat iaitu Wang Won dan Wang Rin itu akan terus keruh dan bagaimana pula dengan Eun San adakah beliau akan terperangkap dalam memilih di antara dua individu itu atau harus mengecewakan kedua-duanya.

Bagi mengetahui kesudahan kisah siri drama yang sangat menarik ini jangan terlepas untuk terus menonton siri drama The King Loves sehingga ke penghujungnya.