Bicarakan kesan teknologi kepada belia

Bicarakan kesan teknologi kepada belia

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Nov – Siri Perlindungan Remaja (Youth Protection Series), anjuran Kumpulan Syababul Iman Masjid Sultan Sharif Ali, Sengkurong, kini kembali lagi bagi siri ke-2 dengan tajuk ‘Penagih Digital’ yang berlangsung di masjid berkenaan.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pengarah Hal Ehwal Masjid, Haji Abdul Rajid bin Haji Mohammad Salleh.

Siri kali ini membicarakan mengenai beberapa perihal penting sekitar belia dan teknologi, dengan menggabungkan sesi yang berbentuk ceramah dan forum.

Bagi sesi ceramah, ia mengetengahkan tiga tajuk iaitu ‘Electrical Screen Syndrome’ oleh Pegawai Psikologi Klinikal, Pengiran Hartini binti Pengiran Tahir; ‘Cyber Crime’ oleh pegawai dari Pasukan Polis Diraja Brunei, ASP Adi Hamree bin Haji Mohd Rakawi dan ASP Mohd Izzaldin bin Mohd Osman; serta ceramah bertajuk ‘Sexual Grooming Online’ yang telah disampaikan oleh pegawai dari Jabatan Siasatan Jenayah, INSP Hajah Roszafina @ Anis binti Haji Ahmad.

Pengiran Hartini dalam ceramahnya menyentuh mengenai kesan-kesan buruk dan tidak baik apabila seseorang kanak-kanak itu terdedah kepada skrin digital pada usia yang muda seperti skrin TV, iPad, komputer riba, telefon bimbit dan sebagainya.

Pengiran Hartini semasa menyampaikan ceramah.
Pengiran Hartini semasa menyampaikan ceramah.

Menurutnya, jika kanak-kanak itu terdedah kepada skrin digital dalam jangka masa yang panjang akan dapat menjejaskan kesihatan mental kanak-kanak itu kerana pada era globalisasi ini, kemudahan Internet semakin berleluasa seiring perkembangan teknologi yang semakin canggih.

Beliau juga kemudian mengongsikan pengalaman beliau dalam memantau pemakaian dan pendedahan anak-anaknya terhadap penggunaan skrin digital.

Manakala itu, sesi forum pula menampilkan pensyarah Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Dr. Kamaru Salam Yusof dan pegawai dari Kementerian Hal Ehwal Ugama, Awang Muhammad Yussof bin Haji Abdul Majid.

Siri Perlindungan Remaja ke-2 ini bertujuan untuk memberikan kesedaran kepada orang ramai mengenai penggunaan teknologi dalam Islam dan menjelaskan tentang sindrom skrin elektrik dan juga jenayah siber.

Selain itu juga untuk memberikan penyelesaian dalam menangani isu penggunaan teknologi yang berlebihan mengikut Islam di samping mengongsikan implikasi atau kesan penggunaan teknologi yang berlebihan kepada pembangunan masyarakat dan negara.

ARTIKEL YANG SAMA