BICTA iktiraf bakat ICT

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Sept – Sebanyak 30 penyertaan telah diterima bagi Anugerah ICT Brunei (BICTA) tahun ini dalam tiga kategori yang dipertandingkan iaitu Kategori Penuntut-penuntut Institut Pengajian Tinggi, Kategori Start-up dan Kategori Industri ICT.

Kumpulan peserta dari UTB telah mengungguli Kategori Penuntut-penuntut Institut Pengajian Tinggi apabila tiga produk yang dihasilkan oleh kumpulan-kumpulan universiti berkenaan memenangi tiga tempat teratas dengan produk ‘Smart LED Street Light System Using Sensor and Wireless Network’ muncul juara, manakala itu, produk ‘Brunei Forest Fire Prevention System (BFFP)’ dan ‘Mobile Incident Reporting and WebBased GIS for Disaster Management’ masing-masing mendapat tempat kedua dan ketiga.

Kategori Start-Up pula telah dijuarai oleh Pengiran Khairi bin Pengiran Haji Metussin dengan produk ‘Islamic Mind’ diikuti oleh Yamin Hamid dan Simon Soo Say bagi Sistem ‘Track and Roll’ di tempat kedua manakala itu, tempat ketiga dimenangi oleh ZeneCo Solutions dengan produk ‘Agrome iQ Agriculture Business Intelligence Platform’.

Bagi Kategori Industri ICT, juara disandang oleh Naindah Enterprise dengan perkhidmatan Naindah.com, NewGate Plus bagi aplikasi ‘First Blood’ di tempat kedua dan Sphiere Sdn Bhd bagi aplikasi ‘Lock and Go’ di tempat ketiga.

Penyampaian hadiah kepada para pemenang pada majlis yang berlangsung di Dewan Amar Pahlawan, Kementerian Perhubungan, pagi tadi telah disempurnakan oleh Menteri Perhubungan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Mustappa bin Haji Sirat selaku tetamu kehormat majlis.

Juara Kategori Pengajian Tinggi dari UTB dengan produk ‘Smart LED Street Light System Using Sensor and Wireless Network’.
Menteri Perhubungan semasa menyaksikan pameran pada majlis tersebut.
Haji Azhar semasa menyampaikan ucapan alu-aluan.

Majlis juga telah menyaksikan penyampaian anugerah-anugerah khas iaitu Anugerah Khas Usahawan Harapan,Anugerah Khas ICT Hijau, Anugerah Khas Teknologi Baru, dan Anugerah Industri Kreatif.

Anugerah ICT Hijau dimenangi oleh Jabatan Perkhidmatan Elektrik dengan Sistem D-QMS, Anugerah Usahawan Harapan pula diberikan kepada Awangku Abdul Azim bin Pengiran Yusof bagi platform ‘TeachMeGuru’ dan Anugerah Teknologi Terbaru telah diraih oleh UTB bagi aplikasi ‘Virtual Reality Interactive Science (VRIS)’.

Setiausaha Tetap Kementerian Perhubungan, Haji Azhar bin Haji Ahmad selaku Pengerusi Jawatankuasa Pandu BICTA 2017 dalam ucapannya menyatakan tahun ini menandakan tahun ke-14 BICTA dianjurkan melalui kerjasama di antara Kementerian Perhubungan, Pihak Berkuasa Industri Teknologi Infokomunikasi Negara Brunei Darussalam (AITI) dan InfoCom Federation Brunei (IFB).

“Anugerah BICTA telah menjadi platform utama untuk mengenal pasti dan mengiktiraf pencapaian bakat-bakat ICT dari kalangan individu, penuntut dan pengusaha warga tempatan serta mengenal pasti inovasi ICT tempatan yang terbaik,” jelasnya.

Katanya lagi, BICTA 2017 yang membawa tema ‘Generasi Digital Berwawasan’ menekankan kepentingan generasi berwawasan sebagai pencetus inovasi masa depan yang menggambarkan generasi berdaya tahan yang sentiasa peka dengan perkembangan teknologi terkini dan sentiasa berusaha untuk menghasilkan penyelesaian yang inovatif.

“Kita berhadapan dengan pelbagai cabaran, seperti isu-isu yang berkaitan dengan tenaga, alam sekitar, kesihatan awam dan sebagainya. Generasi yang berfikiran kreatif serta memiliki jati diri yang luhur dan tahan lasak adalah penting dalam menangani cabaran-cabaran berkenaan terutama sekali di dalam memastikan pembangunan ICT bagi masyarakat,” ujarnya.

Gambar ramai juara, pemenang kedua dan ketiga bagi Kategori Pengajian Tinggi.
Juara, pemenang kedua dan ketiga bagi Kategori Industri ICT semasa bergambar ramai pada acara itu.

Beliau turut menyatakan bahawa, anugerah yang diraih oleh pemenang-pemenang tidak akan diberikan dalam bentuk wang tetapi akan diberikan dalam bentuk ‘grant’ setelah hasil ciptaan mereka itu menampakkan perkembangan di persada industri ICT.

“Ini dibuat untuk menggalakkan kemapanan satu-satu ciptaan itu tidak akan berhenti setakat memenangi Pertandingan Anugerah BICTA sahaja.”

Beliau berharap agar para pemenang BICTA dapat mengambil peluang keemasan untuk memperluaskan produk buatan Brunei dan seterusnya menembusi pasaran di rantau Asia Pasifik melalui program-program yang berbentuk rangkaian perniagaan atau program pertukaran teknologi.

Jurucakap kumpulan UTB bagi produk Sistem ‘Smart LED Street Light System Using Sensor and Wireless Network’ semasa ditemui menjelaskan, sistem berkenaan merupakan kaedah yang inovatif bagi memastikan penggunaan yang lebih efisien dan mesra alam dengan penggunaan lampu LED serta sensor.

Katanya, sistem berkenaan telah memakan masa hampir satu tahun untuk dicipta dan ia merupakan projek akhir tahunnya semasa pengajian ijazahnya dan beliau berharap agar sistem berkenaan akan dapat dikembang majukan pada masa akan datang agar dapat digunakan di negara ini untuk sama-sama memastikan keselamatan para pengguna jalan raya.

Juga hadir di majlis itu ialah Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap, Dr. Haji Supry bin Haji Awang Ladi, Pengerusi IFB, ahli-ahli Jawatankuasa Pandu BICTA 2017, para pengarah dan pegawai-pegawai kanan Kementerian Perhubungan, wakil-wakil dan penuntut dari institusi pengajian tinggi, syarikat-syarikat baru mula dan industri ICT tempatan.