BICTA kembali lagi

BICTA kembali lagi

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Feb – Anugerah ICT Brunei (BICTA) kembali lagi dengan edisi ke-13 tahun ini sebagai landasan bagi individu, pelajar dan syarikat-syarikat tempatan untuk bersaing dalam arena ICT.

Pelancarannya pada majlis yang berlangsung di Dewan Amar Pahlawan, Kementerian Perhubungan, hari ini, telah disempurnakan oleh Menteri Perhubungan, Yang Berhormat Dato Paduka Haji Mustappa bin Haji Sirat, yang turut menyaksikan pameran mini produk dan aplikasi ICT yang pernah memenangi BICTA pada 2015.

Acara tahunan anjuran Kementerian Perhubungan dengan kerjasama Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-komunikasi Negara Brunei Darussalam (AITI) dan Persekutuan Infocom Brunei (IFB) sejak 2013 ini merupakan medan untuk merangsang inovasi dan kreativiti ICT dalam kalangan individu, pelajar serta perusahaan tempatan.

BICTA tahun ini membawa tema ‘Generasi Digital Berwawasan’, yang mana ia akan memaparkan Anugerah Penaung Diraja yang diadakan setiap dua tahun sekali, dengan Trofi Penaung Diraja akan dianugerahkan kepada pemenang keseluruhan terbaik dalam semua kategori pada majlis yang dijadualkan September nanti.

BICTA 2016 mempertandingkan tiga kategori iaitu Projek Sekolah yang dibuka kepada individu atau kumpulan projek ICT yang terdiri daripada para pelajar sekolah rendah dan sekolah menengah dengan juara akan membawa pulang hadiah wang tunai $3,000, trofi dan sijil.

Menteri Perhubungan diberikan penerangan mengenai produk ICT oleh para peserta BICTA 2015.
Menteri Perhubungan diberikan penerangan mengenai produk ICT oleh para peserta BICTA 2015.
Yang Berhormat Dato Paduka Haji Mustappa semasa menghadiri majlis berkenaan.
Yang Berhormat Dato Paduka Haji Mustappa semasa menghadiri majlis berkenaan.

Kategori Projek Pengajian Tinggi dibuka kepada individu atau kumpulan projek ICT yang terdiri daripada para penuntut institut pengajian tinggi dengan juara akan membawa pulang hadiah wang $7,000, trofi dan sijil.

Manakala itu, Kategori Industri ICT yang dibuka kepada individu, kumpulan atau pengusaha ICT berdaftar di negara ini akan menyediakan hadiah wang tunai $10,000, trofi dan sijil kepada pemenangnya.

Di samping kategori yang dipertandingkan itu, sebanyak empat anugerah khas juga ditawarkan iaitu Anugerah Usahawan Harapan, Anugerah Pemaju Muda, Anugerah ICT Hijau dan Anugerah Teknologi Baru.

Anugerah ini juga diadakan untuk merangsang inovasi dan kreativiti industri ICT dalam kalangan individu, pelajar dan perusahaan tempatan, memberi tanda aras untuk pembangunan produk ICT tempatan, mencari calon peserta tempatan dalam Anugerah Perikatan ICT Asia Pasifik (APICTA) serta platform untuk mengenal pasti produk ICT tempatan yang paling inovatif.

BICTA merupakan komponen APICTA iaitu Persekutuan Organisasi ICT bagi Rantau Asia Pasifik yang terdiri daripada 16 ekonomi termasuk Australia, Negara Brunei Darussalam, Bangladesh, China, Hong Kong, Indonesia, Jepun, Macau, Malaysia, Myanmar, Nepal, Pakistan, Singapura, Sri Lanka, Taiwan dan Thailand.

APICTA ditubuhkan untuk membina dan meningkatkan rangkaian kerjasama dalam mempromosikan ICT, inovasi, keupayaan dan penggunaan ICT serta menggalakkan pembangunan penyelesaian ICT untuk pasaran global.

Pemenang-pemenang BICTA bagi 2016 akan berpeluang untuk mewakili Brunei di pertandingan APICTA yang akan diadakan pada 1 hingga 4 Disember nanti di Taiwan.

Pelancaran BICTA hari ini akan disusuli dengan siri jerayawara pada Mac di mana penutup pencalonan penyertaan dalam BICTA 2016 ialah pada 12 Mei nanti.

Para peserta BICTA akan perlu menyertai siri bengkel yang akan diadakan pada Mei hingga Julai dan tarikh tutup bagi menghantar produk terakhir bagi pertandingan itu adalah pada 25 Julai dan diikuti sesi penghakiman pada Ogos sebelum majlis penyampaian anugerah September nanti.

ARTIKEL YANG SAMA