BICTA lanjut bengkel ke-2

BICTA lanjut bengkel ke-2

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Jun – Jawatankuasa Kerja Anugerah ICT Brunei (BICTA) 2015 telah menganjurkan satu lagi bengkel bagi melengkapkan para peserta dengan kemahiran pembentangan berkesan dan pemilihan kandungan yang efektif, sebagai sebahagian daripada persediaan untuk bertanding dan membentangkan projek mereka pada Ogos depan.

Menurut kenyataan Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-Komunikasi Brunei Darussalam (AITI), bengkel yang berlangsung di Dewan Seri Kerna, Pejabat AITI, itu merupakan yang kedua daripada tiga bengkel yang dianjurkan bagi para peserta BICTA 2015.

Lebih 60 peserta daripada industri ICT, sekolah-sekolah menengah, institusi pendidikan tinggi dan kolej-kolej swasta, menghadiri bengkel berkenaan.

Sepanjang bengkel itu, para peserta dilibatkan dalam sesi ice-breaking dan perbincangan intensif secara berkumpulan, latihan-latihan menyampaikan ucapan tanpa persediaan serta pembentangan di atas pentas.

Topik-topik meliputi pengenalan kepada pembentangan berkesan, membuat pembentangan dengan keyakinan, menggunakan PowerPoint secara berkesan dan impak penyampaian.

Antara peserta yang mengikuti bengkel kedua anjuran Jawatankuasa Kerja BICTA 2015.
Antara peserta yang mengikuti bengkel kedua anjuran Jawatankuasa Kerja BICTA 2015.
Bengkel yang dimudah carakan oleh Soon Loo.
Bengkel yang dimudah carakan oleh Soon Loo.

Bengkel ini telah dimudah carakan oleh Soon Loo, iaitu seorang penceramah, usahawan dan venture capitalist terkemuka tempatan.

Menurut kenyataan itu, beliau merupakan Pengarah Urusan Seri Venture Capitalist, yang mempunyai banyak pengalaman korporat daripada syarikat-syarikat baru di Lembah Silikon di mana beliau berjaya mengumpulkan lebih daripada AS$35 juta dalam dana modal usaha sama bagi syarikat-syarikat multinasional di China dan Singapura.

BICTA adalah pertandingan ICT tahunan yang dianjurkan oleh Kementerian Perhubungan dengan kerjasama AITI.

Pertandingan ini menampilkan tiga kategori iaitu Projek Sekolah, Projek Pendidikan Tinggi dan Industri ICT, yang mana pemenang tempat pertama bagi setiap kategori, masing-masing akan menerima wang tunai $2,500, $5,000 dan $10,000.

Selain itu, empat anugerah istimewa juga diperkenalkan tahun ini, iaitu Usahawan Harapan, Pemaju Muda, ICT Hijau dan Teknologi Baru.

Maklumat lanjut mengenai BICTA boleh didapati dengan melayari laman sesawang www.bicta.gov.bn.

ARTIKEL YANG SAMA