BICTA pelengkap generasi berwawasan

BICTA pelengkap generasi berwawasan

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Feb – Golongan belia selaku pewaris masa depan harus mempunyai semangat generasi berwawasan kerana mereka bukan sahaja bakal menerajui negara tetapi pencetus inovasi pada masa depan.

Oleh itu, tema Anugerah ICT Brunei (BICTA) 2016, ‘Generasi Digital Berwawasan’, amat bertepatan yang mana ia menggambarkan generasi berdaya tahan yang peka dengan perkembangan teknologi terkini dan sentiasa berusaha untuk menghasilkan penyelesaian inovatif.

Harapan itu disuarakan oleh Setiausaha Tetap di Kementerian Perhubungan, Haji Azhar bin Haji Ahmad yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pandu BICTA 2016 ketika berucap pada Majlis Pelancaran Anugerah ICT Brunei (BICTA) 2016 di Dewan Amar Pahlawan, Kementerian Perhubungan, hari ini. Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan pelancaran BICTA 2016 ialah Menteri Perhubungan, Yang Berhormat Dato Paduka Haji Mustappa bin Haji Sirat.

Menurut Haji Azhar, “Inovasi dalam ICT merupakan tunjang kepada pembangunan ekonomi dan sosial negara. Kita berhadapan dengan pelbagai cabaran seperti isu-isu yang berkaitan dengan tenaga, alam sekitar, kesihatan awam dan sebagainya.”

Oleh itu, kata beliau, generasi yang berfikiran kreatif dan yang memiliki jati diri yang luhur serta tahan lasak adalah penting dalam menangani cabaran berkenaan terutama dalam memastikan pembangunan ICT bagi masyarakat. Mengulas mengenai Anugerah BICTA, Haji Azhar berkata ia menjadi platform utama untuk mengiktiraf pencapaian bakat-bakat ICT dalam kalangan individu, pelajar dan pengusaha tempatan.

Haji Azhar ketika menyampaikan ucapan pada majlis berkenaan.
Haji Azhar ketika menyampaikan ucapan pada majlis berkenaan.

“Setiap tahun, anugerah BICTA mengenal pasti inovasi ICT tempatan yang terbaik serta memberi galakan dan peluang untuk mendapatkan kejayaan seterusnya dalam arena antarabangsa dan pasaran global melalui penyertaan dalam pertandingan pada peringkat antarabangsa yang dikenali sebagai Anugerah Asia Pacific ICT Alliance (APICTA),” kata Haji Azhar.

“Antara pencapaian Negara Brunei Darussalam di APICTA ialah berjaya memenangi dua anugerah pemenang dan 17 anugerah merit atau kepujian termasuk tiga yang diterima di APICTA Sri Lanka pada 2015,” tambah beliau.

“Pencapaian ini membuktikan dan sokongan padu pihak kerajaan, pihak industri dan institusi akademik dalam memupuk pembangunan ICT di negara ini.”

Beliau juga menyatakan, setiap tahun pertandingan BICTA menerima penyertaan yang sangat menggalakkan bagi semua kategori dan diharap jumlah penyertaan tahun ini akan meningkat dengan menonjolkan produk ICT berkualiti tinggi untuk bersaing dalam APICTA 2016 yang akan diadakan di Taiwan nanti.

Manakala itu, dalam usaha untuk menggalakkan lebih banyak penyertaan dalam BICTA 2016, Haji Azhar berkata, jawatankuasa kerja telah menyediakan beberapa promosi termasuk jerayawara ke sekolah-sekolah, institusi pengajian tinggi, kolej-kolej tempatan serta pihak industri ICT.

Di samping itu, beberapa bengkel yang menumpukan kepada pembangunan inovasi juga akan dianjurkan bagi membolehkan para peserta menjana idea-idea baru serta menghasilkan penyelesaian ICT yang dapat mendatangkan faedah kepada perniagaan dan masyarakat pada masa kini.

ARTIKEL YANG SAMA