Bida lebih banyak penganjuran boling antarabangsa – Adenan

Bida lebih banyak penganjuran boling antarabangsa – Adenan

KUCHING, 28 Ogos – Megalanes Sarawak, pusat boling terbesar dan tercanggih di Malaysia, perlu membida supaya lebih banyak pertandingan antarabangsa dapat dianjurkan di sini, kata Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem.

Pusat boling itu yang meliputi kawasan seluas 70,000 kaki persegi merupakan venue mengagumkan yang menyediakan pelbagai kemudahan kepada para pemain.

“Megalanes Sarawak akan menjadi tuan rumah Kejohanan Boling Sekolah-sekolah Asia 2017, yang merupakan acara antarabangsa, dan saya harap Megalanes Sarawak akan membida supaya lebih banyak kejohanan boling antarabangsa dapat dianjurkan pada masa depan.

“Saya difahamkan Megalanes Sarawak telahpun disahkan untuk menganjurkan kejohanan pada Sukan SEA dan Sukan Asia,” kata Adenan dalam teks ucapan yang dibacakan Menteri Belia, Sukan dan Solidariti Sarawak Datuk Seri Michael Manyin, ketika mewakili beliau dalam majlis perasmian pusat boling berkenaan di Emart Batu Kawa, di sini hari ini.

Beliau berkata kerajaan Sarawak, Perbadanan Sukan Sarawak dan Majlis Sukan/Negeri Sarawak akan memberi sokongan padu terhadap kemajuan serta kejayaan sukan boling di negeri ini.

Ketika ditemui pemberita, Manyin berkata cabaran yang dihadapi kementeriannya sekarang adalah untuk mengekalkan semua venue dan kemudahan sukan di Sarawak yang dibina atau ditambah baik bagi penganjuran Sukan Malaysia (Sukma) ke-18 bulan lepas. – Bernama