Bidaan Perancis tak jejas tanpa naik taraf Roland Garros

Bidaan Perancis tak jejas tanpa naik taraf Roland Garros

PARIS, 31 Mei – Ketika kejohanan elit tenis Grand Slam Terbuka Perancis sekali lagi diganggu masalah hujan semasa peringkat 16 terakhir hari ini, ketua kepada projek bidaan Sukan Olimpik Paris 2024 berkata pemasangan bumbung di gelanggang utama tidak penting bagi penganjuran temasya berprestij itu.

Roland Garros adalah satu daripada gelanggang yang termasuk dalam bidaan Paris bagi menganjurkan Sukan Olimpik yang kali terakhir menjadi tuan rumah pada 1924.

Namun, ketika tiga lagi gelanggang Grand Slam – Wimbledon, Terbuka Amerika Syarikat dan Terbuka Australia – semuanya memiliki satu stadium yang berbumbung, tiada sebarang harapan untuk melihat Roland Garros berbumbung sebelum 2020.

Pelan penambah baik terhadap gelanggang itu ditolak oleh aktivis alam sekitar bagi melindungi kawasan rumah hijau berdekatan, Auteuil. “Roland Garros sudah pun venue yang menakjubkan bagi Olimpik,” kata ketua projek bidaan Paris 2024, Bernard Lapasset kepada wartawan di Roland Garros, hari ini.

“Kami boleh melakukan banyak lagi, namun ia tidak penting,” katanya mengulas projek pemasangan bumbung dan pembesaran venue. “Ia mungkin nampak mudah untuk meletakkan bumbung.

Namun ia lebih rumit bagi gelanggang baru, yang akan berada di dalam kemudahan sedia ada.

“Penting bagi kami yang kami boleh memberikan cadangan kepada ahli-ahli IOC (Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa) sedikit kesetiaan kami kepada nilai-nilai alam sekitar kami. Zon ini dilindungi dan adalah rumit untuk melakukan sesuatu tanpa persetujuan orang di sekitarnya.”

Begitupun, Pengarah Terbuka Perancis, Guy Forget berkata bumbung yang boleh laras menjadi “keperluan” buat kejohanan itu selepas hujan sekali lagi mengganggu jadual perlawanan, hari ini. – Agensi