Bidang akademik, kokurikulum perlu seimbang

Bidang akademik, kokurikulum perlu seimbang

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Nov – Lebih 200 pelajar Sekolah Menengah Rimba menerima Sijil Aktiviti-aktiviti Kokurikulum (CCA) mereka pada Majlis Sekolah Menengah Rimba (SMR) Heroes 2016 yang berlangsung di dewan sekolah berkenaan, hari ini.

Hadir dan seterusnya menyampaikan sijil kepada para penerima ialah Pemangku Pengarah Jabatan Pendidikan kokurikulum, Kementerian Pendidikan, Haji Azis bin Haji Nayan.

Pengetua sekolah berkenaan, Haji Malai Shah Erwan bin Syed Haji Yussof dalam ucapannya berkata, pendidikan kokurikulum merupakan satu aspek yang penting bagi para pelajar, di mana para pelajar boleh mempelajari sesuatu kemahiran yang tidak terdapat dalam silibus pembelajaran di dalam kelas.

Jelasnya lagi salah satu tujuan utama kokurikulum adalah untuk menyeimbangkan pembelajaran di antara bidang akademik dan bukan akademik.

“Alhamdulillah, selama ini kita telah berjaya melaksanakan dan membudayakan penyelarasan CCA secara bersistematik. Ini sudah setentunya membolehkan kita mencapai objektif pelaksanaan CCA dengan berkesan iaitu dengan memberikan setiap pelajar itu peluang untuk mengikuti setiap kelab yang disediakan,” jelas beliau.

Awangku Yura Wira Putera menerima Anugerah Wirawan.
Awangku Yura Wira Putera menerima Anugerah Wirawan.
Penerima Anugerah Wirawati bergambar bersama sijil dan piala kemenangannya.
Penerima Anugerah Wirawati bergambar bersama sijil dan piala kemenangannya.

Beliau juga berbangga dengan sistem perlaksanaan CCA di sekolah tersebut, di mana setiap hari persekolahan, CCA akan dijalankan mengikut jadual peringkat masing-masing dalam tempoh satu minggu di sepanjang tahun.

“Ini bermakna pembelajaran CCA mengikut kokurikulum pembelajaran tersebut dapat dioptimumkan dan kualiti pendidikan CCA itu lebih memberikan nilai tambah bagi setiap pelajar dengan visi dan misi sekolah kita, tambahnya.

“Penganjuran majlis ini adalah untuk memberikan pengiktirafan dan meraikan putera-puteri yang mewakili sekolah dalam pertandingan dan perlawanan di dalam negeri mahu pun mewakili negara dalam peringkat antarabangsa. Selain itu, Majlis SMR Heroes juga adalah sebagai cara untuk menghargai pelajar aktif dalam penyertaan kokurikulum sama ada dalam acara bersukan, bidang akli, rohani, keagamaan atau pasukan beruniform,” tambahnya.

Dalam majlis tersebut, dua orang pelajar telah menerima Anugerah Wirawan Sekolah dan Anugerah Wirawati Sekolah, masing-masing dimenangi oleh Awangku Yura Wira Putera bin Pengiran Yunos dan Nurul Hasyimah binti Haji Metussin.

Menurut salah seorang ahli Jawatankuasa CCA SMR, Dayang Kartini binti Haji Bakar, pengiktirafan mereka dinilai dari segi komitmen mereka terhadap aktiviti CCA sekolah yang mereka sertai dan keaktifan mengikut kegiatan sekolah.

“Selain itu, prestasi di dalam sesuatu aktiviti juga menjadi kunci utama yang biasanya pelajar-pelajar berprestasi tinggi akan disyorkan oleh para guru-guru SMR,” tambahnya.

Pemberian penghargaan seumpamanya itu juga bertujuan memberi peluang kepada semua pelajar SMR untuk menonjolkan diri mereka sama ada dalam bidang akademik mahu pun bidang kokurikulum selaras dengan visi Kementerian Pendidikan iaitu ‘Pendidikan yang Holistik’.

ARTIKEL YANG SAMA