Bidang landskap berpotensi jana pendapatan tinggi

Bidang landskap berpotensi jana pendapatan tinggi

Oleh Fadzli Ramli

 

ALOR GAJAH, 22 Nov – Sering digambarkan bidang landskap sebagai pekerjaan untuk mereka kurang berpendidikan dan perniagaan ini memberikan pulangan yang rendah berbanding keringat dicurahkan.

Maka tidak hairanlah apabila ada yang mengatakan kerja ‘tukang kebun’ seperti menyiram pokok bunga, mencabut rumput dan menjaga tanaman hiasan hanya sesuai dilakukan pekerja warga asing.

Bagi Timbalan Exco Hal-ehwal Syarikat, Sumber Manusia dan Badan Bukan Kerajaan Melaka Datuk Amiruddin Yusof mentaliti seperti itu perlu di ubah kerana bidang landskap sebenarnya berpotensi untuk menjana pendapatan lumayan.

Malah beliau percaya pekerjaan dan perniagaan dalam bidang landskap mampu menjadi pemangkin dalam meningkatkan tahap sosioekonomi masyarakat kerana permintaan yang semakin menggalakkan dalam bidang ini.

“Negara amat banyak projek perumahan, perniagaan dan pembinaan fasiliti untuk dibuat landskap kemudian selenggaranya, jumlah kerja-kerja landskap ini amatlah besar dengan pembangunan pesat projek seperti ini. Ini potensi yang perlu diambil peluang,” katanya.

“Namun ia bukan bidang yang mudah untuk diceburi, kena ada ilmu kena ada usaha tanpa mengenal penat lelah baru boleh berjaya. Bila berjaya percayalah

pulangannya amat lumayan,” kata Amiruddin kepada Bernama selepas Majlis Dialog Industri Landskap di Kolej Komuniti Masjid Tanah di sini baru-baru ini.

Kerajaan melalui Dasar Landskap Negara dilancar 2011 bertujuan memacu Malaysia menjadi Negara Taman Terindah 2020 antara lain menetapkan 30 peratus kawasan perancangan pembangunan perbandaran tempatan dikekalkan hijau dan memacu industri landskap negara bagi menjana pendapatan tinggi untuk rakyat.

Amiruddin berkata selain mencari pekerjaan berpendapatan tinggi, mereka terutama generasi muda yang mempelajari ilmu landskap perlu berani mengambil peluang melibatkan diri dalam keusahawanan landskap. – Bernama