Biden cadang tanding presiden AS

Biden cadang tanding presiden AS

WASHINGTON, 2 Ogos (Reuters) – Naib Presiden Amerika Syarikat Joe Biden, yang sebahagiannya mendapat inspirasi daripada mendiang anak lelakinya, mengadakan perbincangan dengan ahli keluarganya di Washington mengenai kemungkinan mencabar Hillary Clinton bagi pencalonan presiden Demokratik, lapor The New York Times semalam.

Biden sebelum ini dilaporkan berkata secara terbuka beliau akan membuat keputusan pada akhir musim panas.

Menurut kolumnis Times Maureen Dowd: “Biden turut bercakap dengan rakan-rakan, keluarga dan para penderma mengenai cadangan itu. Naib presiden berusia 72 tahun itu mengadakan perbincangan di kediamannya di Washington untuk meneroka idea bagi menentang Hillary di Iowa dan New Hampshire.”

Dowd memetik perbincangan yang menyaksikan Beau Biden, bekas peguam negeri Delaware yang meninggal dunia akibat barah ketika itu, cuba mendapatkan ikrar bapanya supaya turut bertanding. Anak bongsu naib presiden, Hunter, juga menggalakkan beliau supaya bertanding jawatan presiden, kata Times.

Mendiang anak lelaki Biden, Beau Biden (kiri) merupakan sumber inspirasi untuk Naib Presiden AS tersebut memikirkan secara serius untuk bertanding jawatan presiden AS.
Mendiang anak lelaki Biden, Beau Biden (kiri) merupakan sumber inspirasi untuk Naib Presiden AS tersebut memikirkan secara serius untuk bertanding jawatan presiden AS.

Dowd, yang kerap mengkritik Clinton da suaminya bekas presiden Bill Clinton, berkata kempen oleh Biden mungkin agak rumit baginya kerana dia mempunyai hubungan baik dengan Hillary Clinton dan menghormati hasrat parti demokratik untuk mencalonkan wanita ke Rumah Putih.