Biden perhati Iran ‘seperti helang’

Biden perhati Iran ‘seperti helang’

WASHINGTON, 21 Mac (AFP) – Naib Presiden Joe Biden mengingatkan semalam bahawa Amerika Syarikat sedang memerhatikan Iran ‘seperti burung helang’ untuk memastikan ia mematuhi perjanjian nuklear bersejarah.

Tehran dan enam kuasa dunia, termasuk Amerika Syarikat, mencapai perjanjian pada Julai apabila Iran berjanji akan mengurangkan aktiviti nuklearnya sebagai tukaran kepada pembatalan sekatan PBB dan Barat, termasuk eksport minyaknya.

“Insentif diselaraskan untuk Iran untuk mendukung perjanjiannya. Kami mengawasi Iran seperti burung helang,” kata Biden.

“Di bawah perjanjian ini, Iran tidak dibenarkan menghasilkan senjata nuklear,” beritahunya kepada persidangan dasar tahunan kumpulan lobi Jawatankuasa Perhubungan Awam Amerika Israel (AIPAC).

“Jika Iran mencabul perjanjian, Amerika Syarikat akan bertindak,” janji Biden.

Biden bercakap semasa sidang kemuncak Jawatankuasa Hal Ehwal Awam Amerika Israel (AIPAC) kurang daripada dua minggu selepas lawatan ke Israel. – AFP
Biden bercakap semasa sidang kemuncak Jawatankuasa Hal Ehwal Awam Amerika Israel (AIPAC) kurang daripada dua minggu selepas lawatan ke Israel. – AFP

Satu peruntukan utama membenarkan sekatan dipulihkan dengan serta merta jika Iran didapati mencabul perjanjian.

Pemimpin Agung Iran, Ayatollah Ali Khamenei telah menuduh Washington kerana gagal menghormati syarat-syarat perjanjian, dalam ucapannya meraikan Tahun Baru Parsi.

AS telah membatalkan sekatan ‘pada kertas’ di bawah perjanjian yang berkuatkuasa pada Januari, “namun mereka menggunakan laluan berbelit-belit untuk mencegah republik Islam itu dari mencapai sasarannya,” kata Khamenei kelmarin.

Iran telah menafikan mahu senjata nuklear, berkata aktiviti nuklearnya adalah untuk tujuan awam seperti penghasilan tenaga elektrik.

Namun di Israel – di mana ramai orang bimbang disasarkan oleh Tehran – masih timbulnya kebimbangan mengenai keselamatan selepas perjanjian dimeterai.

Biden juga menyentuh mengenai usaha perdamaian antara warga Israel dan Palestin dan prospek bagi penyelesaian kedua-dua negara itu.

“Tidak ada kemahuan politik dalam kalangan warga Israel atau Palestin untuk bergerak ke hadapan pada saat ini dengan rundingan yang serius,” kata Biden.

“Secara jujurnya, proses sistematik dan kukuh kerajaan Israel dalam meluaskan penempatan, mensahkan kota kara dan merampas tanah, telah menghakis pada pandangan saya prospek penyelesaian dua kerajaan,” ujarnya kepada khalayak dalam ucapannya.