BIFASH bermula hari ini

BIFASH bermula hari ini

Oleh Normazlina M.D

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Ogos – Festival Fesyen Islam Brunei (BIFASH) yang bertemakan ‘Seni Islam’ akan diadakan di Tingkat 4, Dewan Besar Hua Ho Manggis Mall mulai esok (27 Ogos) hingga 30 Ogos ini, dari jam 10 pagi hingga 10 malam.

Sehubungan itu, orang ramai dialu-alukan hadir untuk mengunjungi festival itu yang bakal menampilkan beberapa vendor dan pereka fesyen tempatan dan luar negara termasuk selebriti dari Malaysia

Jenama-jenama yang akan tampil ikut serta dalam festival itu ialah Alluya, Aljumanah, Bokkita Hijab Brunei, Mumtaz Collection, Qafa Haus, Zasyah Boutique, Diamond Scarves, Nora Danish, Qaisaradreams dan banyak lagi.

Beberapa acara menarik juga akan diraikan bagi memeriahkan BIFASH dengan menampilkan kehebatan Seni Islam Belia Brunei Darussalam dengan mengadakan pertandingan Tausyeh yang akan diadakan pada 27 Ogos, jam 8 malam dan Pencarian Pentazkir pada 28 Ogos bermula jam 2 petang.

Festival itu juga akan diisi dengan aktiviti Sesi Kaligrafi dan mewarna bagi kanak-kanak yang ikut serta dan mengunjungi festival itu nanti.

BIFASH yang dibawa secara eksklusif oleh Mia Suria dan ditaja oleh Adijuma itu bertujuan untuk menampilkan pereka-pereka fesyen Muslimah tempatan yang bergiat aktif menawarkan dan mempromosikan fesyen Muslimah yang terkini selain membantu mereka dan orang ramai yang berkeinginan mencari pakaian-pakaian Muslimah yang sesuai dengan cita rasa masyarakat Brunei di samping menjalinkan hubungan erat bersama pereka-pereka fesyen tempatan dan Malaysia yang ikut serta.

ARTIKEL YANG SAMA