BIFF 2016 buka tirai

BIFF 2016 buka tirai

Oleh Imelda Groves HA

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Ogos – Festival Fesyen dan Makanan Antarabangsa Brunei (BIFF) 2016 kini membuka tirainya untuk kunjungan orang ramai bermula hari ini hingga 29 Ogos di Dewan Serba Guna, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.

Hadir melancarkan pesta jualan barangan Muslimah itu ialah wakil dari Brunei Darussalam International Muslimah Showcase (BDIMS), Umie Aida, Bienda dan Betty Banafae.

Majlis turut menyaksikan SMARTER Brunei menyerahkan tabung SMARTER Brunei kepada Umie Aida sebagai kerjasama membantu pusat berkenaan.

Ketika ditemui, Umie Aida melahirkan perasaan gembira kerana dapat bekerjasama dengan SMARTER Brunei untuk meringankan beban mereka dengan membuat kutipan derma sepanjang acara berkenaan.

“Kalau orang datang booth, tak membeli, mungkin mereka boleh bagi sumbangan derma. Saya walaupun wakil negara Malaysia tetapi bila saya sampai di Brunei saya ingin membantu masyarakat sedaya yang mungkin,” ujar pelakon terkenal Malaysia itu.

Presiden SMARTER Brunei, Malai Haji Abdullah bin Haji Malai Othman menyerahkan peti sumbangan kepada Umie Aida.
Presiden SMARTER Brunei, Malai Haji Abdullah bin Haji Malai Othman menyerahkan peti sumbangan kepada Umie Aida.
Umie Aida ketika melancarkan Festival Fesyen dan Makanan Antarabangsa Brunei (BIFF) 2016.
Umie Aida ketika melancarkan Festival Fesyen dan Makanan Antarabangsa Brunei (BIFF) 2016.

Tambahnya, apa pun idea yang beliau cetuskan untuk tabung ini adalah untuk rasa kemanusiaan sesama kita tanpa mengira di mana berada, perlulah tolong-menolong.

“Saya mahukan idea ini untuk mendapatkan mana-mana NGO. Walaupun tidak menerima kutipan sumbangan yang banyak nanti tetapi sekurang-kurangnya saya melakukan sesuatu kepada mereka,” katanya lagi.

BIFF 2016 dianjurkan oleh VS Event Management dengan sokongan BDIMS yang membawa misi menyatukan usahawan-usahawan.

Antara yang mengikuti pesta jualan BIFF 2016.
Antara yang mengikuti pesta jualan BIFF 2016.

Ia turut memberi peluang kepada usahawan-usahawan untuk memperkenalkan produk-produk mereka dan mengukuhkan lagi rangkaian rakan niaga sesama mereka.

Selain itu, BIFF 2016 juga bertujuan untuk memberikan peluang kepada usahawan tempatan dan antarabangsa bersatu padu dan seterusnya berjumpa pelanggan-pelanggan setia serta pelanggan baru bagi mendapatkan pelbagai jenis pakaian dan makanan di bawah satu bumbung bersempena menjelangnya Hari Raya Aidiladha.

Pihak pengurusan berharap orang ramai akan datang dan memberikan sokongan bukan hanya kepada usahawan-usahawan tempatan tetapi juga kepada usahawan-usahawan antarabangsa yang datang dari jauh menyertai BIFF 2016.

ARTIKEL YANG SAMA