BIFW tampil fesyen Muslimah baru

BIFW tampil fesyen Muslimah baru

Oleh Salawati Haji Yahya

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Ogos – Minggu Fesyen Islam Brunei (BIFW) yang bermula hari ini sehingga 30 Ogos telah menampilkan lebih 20 pengusaha dan para pereka fesyen tempatan bagi mempromosikan produk dan rekaan mereka yang berlangsung di Hotel Centrepoint, Gadong.

Hadir di majlis itu bagi merasmikan majlis dan seterusnya beramah mesra bersama para pengusaha tempatan ialah Timbalan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datin Paduka Hajah Adina binti Othman.

Pengasas Brunei Islamic Fashion and Designer, Hijab Maryam, Mia Suriya menjelaskan bahawa industri fesyen Islam tidak dapat dinafikan mendapat sambutan baik dan mempunyai potensi besar di mana ia ditambah dengan pelaksanaan undang-undang Syariah dan permintaan terhadap BIFW menjadi semakin popular.

Katanya lagi, “Antara tujuan utama BIFW ini adalah untuk memberi galakan kepada Muslimah untuk mengenakan hijab sebagai gaya hidup, seterusnya memberi inspirasi kepada Muslimah untuk sentiasa tampil bersederhana dengan mementingkan menutup aurat.”

BIFW ini bukan saja memberi peluang kepada pengusaha dan pereka fesyen Muslimah di negara ini untuk mempromosi dan memperkenalkan rekaan dan jenama mereka, ia juga memberi inspirasi kepada belia-belia lain dalam sama-sama melibatkan diri dalam keusahawanan ke arah meningkatkan ekonomi masing-masing.

Datin Paduka Hajah Adina (tiga dari kanan) ketika menyaksikan petak jualan salah seorang peserta.
Datin Paduka Hajah Adina (tiga dari kanan) ketika menyaksikan petak jualan salah seorang peserta.
Antara peserta yang mengikuti Minggu Fesyen Islam Brunei.
Antara peserta yang mengikuti Minggu Fesyen Islam Brunei.
Petak jualan ‘Covered By Anissa’.
Petak jualan ‘Covered By Anissa’.

Sementara itu dalam temu bual Media Permata dengan salah seorang peserta BIFW, Dayang Nurul Hanisah binti Haji Masir yang juga pemilik syarikat ‘Covered By Annisa’ berkongsi permulaan tertubuhnya syarikat beliau apabila berjaya mereka selendang pada tahun 2009.

Menurut beliau, sejak ‘Covered By Annisa’ ini dikenali oleh Muslimah di negara ini, mereka mempelbagaikan lagi produk dan rekaan Muslimah dengan menghasilkan skirt hinggalah ke baju jubah.

Rekaan ‘Covered By Annisa’ juga mendapat sambutan di negara jiran, Malaysia, dan Dayang Nurul Hanisah juga menjelaskan bahawa peniaga baju Muslimah di Singapura juga turut berminat untuk menjadi pembekal jenama beliau.

Sepanjang berlangsungnya BIFW ini akan dimeriahkan dengan beberapa aktiviti lain antaranya forum bersama pereka tempatan dan usahawan berjaya selain ceramah khas bertajuk ‘Busana Muslimah’ esok (hari ini) bermula jam 4 petang.

Orang ramai terutama Muslimah yang berminat dengan rekaan fesyen Muslimah yang terkini adalah dialu-alukan untuk berkunjung ke BIFW bermula dari pukul 10 pagi hingga 9 malam sehingga 30 Ogos ini.

ARTIKEL YANG SAMA