BiG rai ulang tahun ke-10

BiG rai ulang tahun ke-10

Oleh Imelda Groves HA

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Jan – Borneo Insider’s Guide (BiG) menyambut ulang tahunnya yang ke-10 hari ini dengan festival piknik yang berlangsung di Colonnade Jerudong Park, hari ini.

Dalam acara yang berlangsung dari pukul 2 petang hingga 10 malam itu, kawasan hijau yang luas di hadapan Colonnade disediakan untuk tempat orang ramai berkelah yang dikelilingi oleh sebanyak 50 pondok jualan tempatan dan serantau yang menjual makanan ringan, minuman, aksesori rumah dan barangan fesyen.

Selain itu, para pengunjung turut dihiburkan dengan persembahan muzik oleh artis-artis tempatan seperti Maria ‘Eia’ Grace Goh, Astroturf, Bridget Ang, FN Duo, Eda Brig, Ghaz Abdullah dan DIG Records Presevation Blues Jazz Hall Band.

Aktiviti lain termasuk cabutan bertuah yang dinanti-nantikan, pertandingan mewarna bagi dewasa serta pertandingan gambar Instagram (#thebig10festival).

Suasana santai berkelah di kawasan Jerudong Park.
Suasana santai berkelah di kawasan Jerudong Park.
Gambar ramai warga Majalah BiG.
Gambar ramai warga Majalah BiG.
Pemotongan kek sambutan yang disempurnakan oleh Pauline Chan dan Wan Zainal Abidin.
Pemotongan kek sambutan yang disempurnakan oleh Pauline Chan dan Wan Zainal Abidin.

Dalam ucapan alu-aluannya, Penyunting Majalah BiG, Pauline Chan melahirkan penghargaannya terhadap sokongan berterusan kepada penggemar majalah berkenaan sepanjang 10 tahun penerbitannya.

Beliau juga berterima kasih kepada Brunei Tourism atas kepercayaan mereka terhadap majalah ini sejak 10 tahun lalu, yang menurutnya, tanpa sokongan mereka pada tahun permulaan, majalah tersebut tidak akan wujud hingga ke hari ini.

BiG juga ingin memberikan sesuatu kepada masyarakat, oleh itu, acara sambutan ulang tahun ini bukan sahaja sambutan untuk 10 tahun terbitan majalah tetapi juga untuk mengumpulkan dana untuk dua pertubuhan amal tempatan iaitu Majlis Kesejahteraan Masyarakat (MKM) dan Care and Actions for Strays (CAS).

Bayaran bagi kemasukan acara BiG itu ialah $3 setiap seorang dan percuma bagi kanak-kanak di bawah dua tahun.

Setiap pembelian tiket masuk, para pelanggan menyumbangkannya kepada dana dan kedua-dua wakil dana juga hadir di acara tersebut untuk mengongsikan kepada orang ramai mengenai kerja-kerja kepada masyarakat dan menerima apa jua sumbangan.

Pihak penyunting juga berterima kasih atas penyertaan dan tajaan yang diberikan oleh mereka yang membantu untuk menjayakan sambutan tersebut yang antaranya dianjurkan bersama oleh Pasukan Majalah BiG dan The Collective – Organisasi seni kreatif tempatan (@thecollectiveartsevents).

Ini merupakan pesta terbesar yang pernah diadakan di Brunei dan menjadikannya sebagai acara pertemuan dalam kalangan pengusaha-pengusaha muda di Brunei untuk mengongsikan ciptaan mereka sama ada berbentuk muzik, barangan makanan dan minuman, kerja-kerja seni dan fesyen.

Majlis pembukaan bagi pesta tersebut dimulakan dengan pemotongan kek yang disempurnakan oleh Penyunting Majalah BiG dan Penerbit Majalah BiG, Wan Zainal Abidin yang memulakan BiG dengan sendirinya pada tahun 2006.

ARTIKEL YANG SAMA