Bijak pilih hidangan sihat

Bijak pilih hidangan sihat

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Ogos – Sebuah lagi restoran menyahut inisiatif Pusat Promosi Kesihatan dalam membendung peningkatan Penyakit Tidak Berjangkit (NCD) di negara ini dengan menyertai Program Restoran Sihat, hari ini.

Perasmian program berkenaan di Substation Restaurant & Catering di Citis Square, telah disempurnakan oleh Pengarah Umum di Kementerian Kesihatan, Dr Awang Zainal Ariffin bin Haji Awang Yahya selaku tetamu kehormat majlis, hari ini.

Turut hadir ialah para pegawai kanan dan pegawai dari Kementerian Kesihatan serta jemputan khas.

Program berkenaan merupakan inisiatif Pusat Promosi Kesihatan yang telah bermula pada tahun lalu dengan tujuan untuk meningkatkan pengetahuan, kefahaman dan kesedaran pihak restoran dan orang awam mengenai pilihan dan penyediaan makanan lebih sihat serta menggalakkan budaya dan amalan pilihan lebih sihat dalam kalangan pemilik restoran, pengurus dan pelanggan.

Pengurus Besar Subbstation Restaurant & Catering, Elsie Kee, berkata, dengan menyertai program ini, mereka berpeluang menyediakan makanan berkhasiat, enak dan makanan yang sesuai untuk rakyat Brunei di samping menggunakan roti yang dibuat setiap hari tanpa menggunakan bahan pengawet.

Dr Awang Zainal Ariffin menyampaikan sijil Restoran Sihat kepada Elsie Kee.
Dr Awang Zainal Ariffin menyampaikan sijil Restoran Sihat kepada Elsie Kee.
Dr Awang Zainal Ariffin melihat lebih dekat lagi penghasilan sandwic sihat sambil mendengar penjelasan daripada Elsie Kee.
Dr Awang Zainal Ariffin melihat lebih dekat lagi penghasilan sandwic sihat sambil mendengar penjelasan daripada Elsie Kee.

“Di samping itu, sentiasa mementingkan sayuran organik yang paling berkhasiat dan amalan baik untuk kesihatan optimum untuk pelanggan dan kami juga berhasrat untuk menjadi pilihan yang ‘lebih baik, lebih sihat’ untuk pelanggan kami dan semua rakyat Brunei yang menikmati sandwic kami,” tambahnya.

Dalam pada itu, beliau turut memberitahu bahawa, setakat ini mereka mempunyai dua cawangan, di Citis Square dan Kiarong, dan akan membuka cawangan ketiga dalam masa terdekat berikutan sambungan yang menggalakkan daripada orang ramai.

Menurut kenyataan Kementerian Kesihatan, program berkenaan menumpukan kepada mewujudkan persekitaran yang menyokong ke arah cara hidup sihat, di mana restoran yang menyertai akan menyediakan pilihan makanan sihat kepada pelanggan dan membolehkan mereka untuk memilih hidangan sihat daripada senarai menu yang sedia ada.

Selain itu, restoran yang ikut turut berpeluang menimba ilmu pengetahuan mengenai bahan masakan sihat dan mendapat khidmat nasihat dalam pelbagai cara penyediaan makanan sihat.

Restoran juga digalakkan untuk menyediakan pilihan makanan dan minuman sihat dalam jumlah saiz hidangan sederhana serta memenuhi permintaan kurang gula, garam serta kurang lemak dan minyak tanpa menjejaskan rasa sedap makanan berkenaan. Makanan dan minuman yang dikategorikan sihat juga akan diberikan label ‘Pilihan Sihat’ atau ‘Healthier Choice’.

Dengan perasmian ini, restoran lain juga diharap akan ikut serta dalam program berkenaan dan bekerjasama menyokong inisiatif permakanan sihat serta membantu mencegah dan mengawal risiko NCD di negara ini.

Menurut kenyataan itu lagi, adanya kerjasama dan penglibatan restoran dalam program ini dapat mendukung salah satu objektif utama dalam BruMAP-NCD 2013-2018 dan merealisasikan Visi Kementerian Kesihatan 2035 ‘Bersama Ke Arah Warga Sihat’.

ARTIKEL YANG SAMA