Bijak urus kewangan

Bijak urus kewangan

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Sept – Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) melalui Unit Pengurusan Harta meneruskan usahanya untuk meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai perancangan kewangan dengan mengadakan taklimat bagi kira-kira 60 pelajar Maktab Teknik Sultan Saiful Rijal (MTSSR), kelmarin.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh BIBD, hari ini, taklimat telah disampaikan oleh Pegawai Unit Pengurusan Harta dan Perancang Kewangan Islam BIBD, Dayang Rozielawati binti Haji Jamil yang telah memperkenalkan asas perancangan kewangan iaitu bermula dengan pelan kewangan yang teratur bagi mencapai matlamat kehidupan.

Beliau seterusnya mengongsikan tip-tip mengenai perbelanjaan cermat seperti membandingkan harga dari kedai-kedai berbeza apabila membeli-belah terutamanya bagi alat tulis.

Di samping itu, beliau turut mengongsikan bahawa adalah lebih baik menyimpan sekurang-kurangnya 10 peratus daripada elaun bulanan mereka, serta mengingatkan para pelajar supaya berkongsi pendapatan mereka, terutamanya dengan mereka yang kurang bernasib baik dan apabila mereka mempunyai pendapatan tambahan atau lebih.

Para pelajar MTSSR ketika menyertai taklimat BIBD mengenai perancangan kewangan.
Para pelajar MTSSR ketika menyertai taklimat BIBD mengenai perancangan kewangan.

Beliau turut bercakap mengenai faedah menyimpan pendapatan mereka dalam bank berbanding disimpan di rumah, kemudian beliau mengakhiri taklimat dengan penjelasan ringkas mengenai perancangan kewangan dari perspektif Islam.

Menurut kenyataan itu, taklimat ini adalah sebahagian daripada matlamat BIBD untuk meningkatkan kesedaran mengenai faedah pengurusan kewangan yang lebih baik dan dalam masa yang sama, menekankan kepentingan meningkatkan kesedaran literasi kewangan di Brunei Darussalam.

Menerusi taklimat ini, diharap kesedaran dan pemahaman mengenai kepentingan perancangan kewangan akan meningkat dalam kalangan orang awam di samping menanai budaya menyimpan untuk membantu orang ramai mencapai matlamat kehidupan serta bersedia bagi kejadian yang tidak dijangkakan.

Orang ramai yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Unit Pengurusan Harta BIBD dan aktiviti-aktiviti mereka, bolehlah menghantar e-mel ke alamat wmu@bibd.com.bn.

ARTIKEL YANG SAMA