Bila buku bertemu ruas

Bila buku bertemu ruas

EDMONTON, Kanada, 30 Jun (AFP) – Juara Jepun berdepan ancaman sebenar daripada England ketika gergasi Asia itu berusaha untuk mempertahankan Piala Dunia Wanita dalam aksi separuh akhir di Edmonton esok.

‘Nadeshiko’ Jepun merupakan pasukan tunggal kejohanan yang belum pernah tewas selepas membuka kempen dengan kemenangan 1-0 ke atas Switzerland di Vancouver tiga minggu lalu.

England sebaliknya memulakan usaha mereka untuk meraih gelaran sulung dengan kekalahan 1-0 kepada Perancis dalam keadaan berangin dan hujan di Moncton.

Tetapi ‘Lioness’ England mendapat momentum dengan menewaskan Mexico, Colombia, juara 1995 Norway dan tuan rumah Kanada semua dengan jaringan 2-1 untuk sampai ke separuh akhir buat kali pertama.

Jepun membenam Australia 1-0 dalam aksi suku akhir dan memenangi semua permainan dengan margin satu gol bersama aksi mantap pasukan dengan tujuh gol yang dijaringkan pemain berbeza.

Pemain Jepun Homare Sawa menendang bola dalam sesi latihan di Edmonton sebagai persediaan berdepan England dalam aksi separuh akhir Piala Dunia Wanita. – AFP
Pemain Jepun Homare Sawa menendang bola dalam sesi latihan di Edmonton sebagai persediaan berdepan England dalam aksi separuh akhir Piala Dunia Wanita. – AFP

Pertahanan ‘Nadeshiko’ juga begitu padu – mereka hanya bolos dua gol dalam lima perlawanan. Tetapi barisan hadapan England telah menjaringkan lapan gol dengan Lucy Bronze dan Karen Carney masing-masing menjaringkan dua gol.

Jurulatih England Mark Sampson percaya pasukannya yang berada di ranking keenam boleh berbangga kerana belum pernah kalah menentang Jepun di ranking keempat dalam tiga pertemuan sebelum ini.

England adalah satu-satunya pasukan yang menewaskan Jepun pada Piala Dunia 2011 dengan kemenangan 2-0 sebelum pasukan Asia itu menjulang gelaran. Mereka juga seri 2-2 pada kejohanan 2007.

“Saya tidak pasti mereka pasukan belasahan lagi. Mereka menjadi salah satu daripada pasukan paling menarik untuk ditonton. Mereka tidak menjaringkan banyak gol tetapi tidak banyak bolos. Kami menentang juara dunia semasa dan ini merupakan cabaran yang besar,” kata Sampson.

Jurulatih Jepun Norio Sasaki yang enggan mengulas keputusan masa lalu berkata: “Kami tidak akan memikirkan keputusan negatif masa lalu. Kami hanya fokus kepada pasukan di hadapan kami,” katanya.

Tetapi Bronze memberi amaran: “Kami tahu Jepun adalah pasukan pilihan tetapi kami yakin. Kami tahu bagaimana kami boleh mengalahkan mereka. England akan terus mara!”

Sampson berharap penjaga gol Karen Bardsley akan cergas sepenuhnya selepas meninggalkan babak kedua suku akhir menentang Kanada akibat bengkak di bawah mata kanannya dan digantikan oleh Siobhan Chamberlain.

Women’s World Cup fixtures

Bardsley telah beraksi dalam lima perlawanan England dan bolos satu gol dalam setiap permainan. Kedua-dua pasukan mencetuskan harapan tinggi di tanah air masing-masing dengan kejayaan bersejarah England mara ke separuh akhir telah menarik jutaan penonton.

Pasukan juga begitu terharu dengan mesej dalam media sosial daripada bekas kapten England David Beckham sehingga dan ketua pasukan semasa Wayne Rooney.

Pengarah FA bola sepak wanita Kelly Simmons memberitahu BBC Sport: “Rasa-rasanya negara seperti sudah jatuh cinta dengan ‘Lionesses’.

“Ia adalah titik tolak di mana berjuta-juta peminat menyokong mereka. Tahap kesedaran terhadap kualiti bola sepak wanita tidak pernah setinggi ini dan segala usaha telah digembleng untuk membantu mereka berada pada tahap sekarang – bersaing pada tahap tertinggi.”

Dan jurulatih Jepun itu juga berkata, jangkaan untuk menjulang kejuaraan berturut-turut begitu tinggi di tanah airnya.

“Kami ingin berjuang habis-habisan kerana tidak rela mensia-siakan harapan mereka yang menyokong kami di Jepun. Kami mahu mencipta semula emosi yang kami cipta pada 2011 demi rakyat Jepun,” katanya.

Dan Sasaki percaya pasukannya mempunyai kelebihan setelah beraksi di Stadium Komanwel Edmonton sebelum ini tetapi England pula terpaksa mengharungi perjalanan sejauh 1,160km dari Vancouver.

“Lawan kami akan datang dari Vancouver dan saya merasakan ia akan menjadi satu kelebihan kepada kami,” katanya.

Pemenang akan menentang salah satu daripada dua pasukan terbaik dunia – sama ada Jerman atau Amerika Syarikat – dengan bekas juara dua kali itu akan bertembung di Montreal lewat hari ini.