Bilal ketemu cendawan gergasi

Bilal ketemu cendawan gergasi

BESUT, 9 Julai (Bernama) – Seorang bilal masjid terkejut apabila menjumpai cendawan ‘gergasi’ berdekatan rumahnya di Kampung Balik Bukit, Jerteh pada Ahad lalu.

Sebatang daripada cendawan itu berukuran kira-kira 35 sentimeter tinggi dan kelopaknya selebar 25 sentimeter manakala enam yang lainnya bersaiz antara 10 hingga 12 sentimeter tinggi.

Wan Abdullah Wan Mahmood, 58, berkata beliau pada mulanya menemui cendawan itu ketika hendak ke masjid kira-kira pukul 8.00 malam.

“Saya ternampak beberapa tompok cahaya putih dalam semak berdekatan laluan yang biasa saya guna untuk ke masjid. Tapi saya tidak ambil kisah dan menyangka cahaya itu hanya daripada serangga yang banyak berkeliaran di situ.

“Namun kerana ingin tahu, saya pergi semula ke tempat cahaya tersebut pada pagi esoknya dan terkejut apabila mendapati beberapa batang cendawan berwarna putih yang mempunyai saiz yang luar biasa yang jarang dilihat sebelum ini,” katanya di sini, hari ini.

Wan Abdullah berkata beliau kemudiannya mengambil cendawan yang paling besar dan menunjukkan kepada orang tuanya yang memberitahu cendawan itu dikenali sebagai cendawan paha ayam dan ia boleh dimakan.

Katanya, beliau menyimpan cendawan yang besar itu manakala yang lain diambil jirannya untuk dimasak dan memberitahu rasanya amat sedap.

ARTIKEL YANG SAMA