Bilangan harimau liar meningkat

Bilangan harimau liar meningkat

NEW DELHI, 11 April (AP) – Jumlah harimau liar dunia yang merayau-rayau dalam hutan dari Rusia hingga Vietnam telah meningkat untuk kali pertama dalam lebih satu abad, dengan 3,890 dikira oleh kumpulan pemuliharaan dan kerajaan negara dalam bancian global terbaru, kata kumpulan pemuliharaan hidupan liar hari ini.

Jumlah tersebut menandakan perubahan haluan daripada anggaran seluruh dunia terakhir pada 2010, apabila jumlah harimau dalam hutan mencecah tahap rendah sebanyak kira-kira 3,200, menurut Tabung Hidupan Liar Dunia dan Forum Harimau Global.

India sahaja mempunyai lebih separuh harimau di dunia, dengan 2,226 harimau merayau-rayau di hutan simpanan di seluruh negara, dari selatan negeri Kerala ke timur kawasan paya di Bengal Barat, menurut pengiraan terakhirnya pada 2014.

Namun sementara pakar berkata berita itu merupakan sebab untuk diraikan, mereka tidak sanggup berkata jumlah harimau itu sendiri sebenarnya sedang meningkat. Dalam perkataan lain, mungkin pakar sahaja yang menyedari terdapatnya lebih banyak harimau, disebabkan kaedah peninjauan yang lebih baik dan lebih banyak kawasan yang ditinjau. Namun, ia adalah kali pertama jumlah harimau sedang meningkat sejak 1900, apabila terdapat lebih daripada 100,000 harimau dalam hutan.

“Lebih penting daripada jumlah mutlak adalah trend, dan kami melihat trend bergerak kalam arah yang betul,” kata Ginette Hemley, naib presiden senior pemuliharaan hidupan liar di WWF.

Bancian global itu, dikumpul daripada tinjauan harimau negara serta Kesatuan Pemuliharaan Alam Semula Jadi Antarabangsa, dikeluarkan sehari sebelum menteri-menteri daripada 13 buah negara bertemu selama tiga hari di New Delhi.

Negara berkenaan bergabung dengan kumpulan pemuliharaan selepas pengiraan yang mengecewakan pada tahun 2010, dan berjanji akan menambah dua kali ganda jumlah harimau liar pada 2022. Pelakon Holywood Leonardo DiCaprio menyertai sama usaha tersebut.

ARTIKEL YANG SAMA