Bilangan kemasukan pelajar pra U1 SMALHB meningkat

Bilangan kemasukan pelajar pra U1 SMALHB meningkat

Oleh Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Jan – Bilangan kemasukan pelajar ke Pra U1 Sekolah Menengah Arab Laki-laki Hassanal Bolkiah (SMALHB) telah bertambah kepada 312 orang berbanding 185 orang tahun lalu.

Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman berkata: “Kebanyakan mereka (ibu bapa pelajar) memilih sekolah ini kerana pendidikannya meliputi pendidikan. Ertinya bukan saja ilmu keagamaan didapati tetapi disiplin untuk hidup sebagai orang Islam yang baik yang ada didapatkan dalam pendidikan Sekolah Arab.”

Yang Berhormat Pehin berkata sedemikian ketika ditemui media semasa lawatan beliau sempena kemasukan Pra U1 di sekolah berkenaan, hari ini.

Ditanya mengenai hala tuju bagi para penuntut yang memasuki persekolahan Arab ini, beliau berkata, hala tujunya jelas sekali daripada mula sekolah Arab ini ditubuhkan dalam tahun 60-an dahulu. Ia bukan sahaja mengandungi pelajaran Arab tetapi juga pelajaran umum, ujar beliau, ada yang memilih aliran agama iaitu sama ada Lughah, Usuluddin atau Syariah, dan ada juga yang memilih aliran umum (Umum 1 dan Umum 2).

Menteri Hal Ehwal Ugama ketika beramah mesra bersama penuntut sekolah berkenaan.
Menteri Hal Ehwal Ugama ketika beramah mesra bersama penuntut sekolah berkenaan.

SONY DSC

“Jadi yang memilih aliran umum pada tahun ini seramai 40 orang daripada 312, satu petanda yang baik. Hala tuju mereka, sebagaimana yang sudah terbukti bukan saja pusat pengajian di dalam negeri seperti UBD, UNISSA, KUPU SB, ITB dan maktab-maktab kejuruteraan, bahkan juga di luar negeri sebagaimana yang sudah terbukti jua, mereka ke Azhar, Mesir, mereka juga masuk di Iskandariah.

“Ada juga di Jordan, ada yang paling dekat sekali ialah Malaysia (UIA), dan yang membanggakan bagi aliran umum, ada penuntut yang belajar di Australia, ada yang paling membanggakan, ada penuntut yang mendapat biasiswa Angkatan Bersenjata Diraja Brunei yang sekarang ini belajar di Emperial College.”

Di sana, tekan Yang Berhormat Pehin, menggambarkan bahawa aliran Sekolah Arab mempunyai hala tuju yang jelas. Beliau turut menyatakan, dengan pertambahan penuntut daripada 185 kepada 312 orang, kelas juga bertambah, namun perkara ini masih dapat ditampung.

ARTIKEL YANG SAMA