Bilangan korban Koppu bertambah

Bilangan korban Koppu bertambah

MANILA, 21 Okt – Banjir di Filipina berpunca daripada ribut taufan kuat reda hari ini namun jumlah kematian meningkat kepada 47 dan berpuluh ribu orang masih berada di pusat pemindahan.

Tatkala cuaca bertambah baik tiga hari selepas Taufan Koppu melanda, pegawai juga sedang mengira kos tanaman yang rosak dan haiwan ternakan yang mati lemas akibat hujan lebat yang mengalir ke rantau perladangan besar di utara Manila.

“Walaupun air masih mengalir ke hilir, ia mulai surut di beberapa kawasan,” beritahu Mahar Lagmay, pengarah projek kerajaan untuk mengurangkan kesan bencana semula jadi di Filipina, kepada AFP.

Hujan lebat di seluruh kawasan pergunungan utara Filipina, punca kebanyakan banjir di kawasan dataran, juga telah reda, menurut Lagmay dan pegawai pertahanan awam tempatan.

Namun 17 orang telah meninggal dunia di tengah rantau perladangan Luzon, menurut pengiraan AFP berdasarkan angka sah daripada pihak berkuasa negara dan tempatan.

Seorang wanita berdiri di hadapan rumahnya yang musnah dibadai taufan Koppu di bandar Casiguran, wilayah Auroran, Manila pada 21 Oktober. – AFP
Seorang wanita berdiri di hadapan rumahnya yang musnah dibadai taufan Koppu di bandar Casiguran, wilayah Auroran, Manila pada 21 Oktober. – AFP

Lebih daripada 300 kampung telah ditenggelami di seluruh rantau tengah perladangan Luzon pada Isnin dan Selasa, dengan banjir memusnahkan seluruh rumah di sesetengah kawasan.

Namun banjir masih belum surut sepenuhnya, memaksa lebih 107,000 orang menetap di pusat pemindahan, menurut agensi pengurusan bencana negara.

Kematian di kawasan banjir kebanyakannya disebabkan mati lemas, tetapi juga terkena renjatan elektrik dan tembok yang runtuh, sementara seorang lagi meninggal dunia akibat gigitan ular.

Seramai 16 yang lain terbunuh di rantau gunung, di mana hujan lebat mencetuskan runtuhan tanah yang menimbus rumah dan memusnahkan jalan raya, beritahu Ivy Carasi, jurucakap untuk pejabat pertahanan awam serantau, kepada AFP.

Di tempat lain, di seluruh negara, 14 orang terbunuh dalam cuaca buruk, membawa jumlah keseluruhan kepada 47 orang. – AFP