Bilangan pelancong Thailand ke Malaysia catat peningkatan

Bilangan pelancong Thailand ke Malaysia catat peningkatan

BANGKOK, 10 Jun – Bilangan pelancong Thai ke Malaysia pada suku pertama tahun ini mencatat peningkatan 31.7 peratus berbanding tempoh sama pada tahun lepas, menurut Pejabat Tourism Malaysia di sini.

Pengarah Tourism Malaysia di Thailand dan Myanmar, Sulaiman Suip berkata dalam suku pertama tahun ini 409,000 pelancong Thai melawat Malaysia berbanding 311,000 pada suku pertama 2015.

“Kami berharap trend positif ini akan berterusan untuk sepanjang tahun ini. Kami akan terus mempromosi Malaysia sebagai sebuah destinasi pelancongan keluarga untuk rakyat Thailand,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Beliau berkata pelbagai faktor memainkan peranan di sebalik peningkatan pelancong Thai ke Malaysia pada suku pertama tahun ini termasuk pengukuhan mata wang Baht berbanding Ringgit Malaysia.

Menurut Sulaiman, pengukuhan mata wang Baht berbanding Ringgit itu menjadikan Malaysia lebih menarik dan mampu untuk dikunjungi oleh pelancong Thai berbanding destinasi lain di rantau ini.

Kestabilan ekonomi Thailand yang mencatat pertumbuhan 3.3 peratus pada suku pertama tahun ini turut menyumbang kepada peningkatan bilangan pelancong negara itu ke Malaysia, katanya.

Selain itu menurutnya, promosi secara agresif oleh syarikat-syarikat penerbangan dan ejen-ejen yang menjual pakej ke Malaysia turut menyumbang terhadap peningkatan positif itu dalam kalangan pelancong Thai.

“Produk-produk seperti taman tema Legoland, Sunway Lagoon dan Lost World of Tambun terus dipasarkan dengan agresif di pasaran pelancong Thai,” katanya dan menambah, jualan pakej ke Malaysia pada April meningkat 15 peratus.

Tarikan baharu seperti Malaysia Animation Park Studios serta Taman Tema Nickelodeon pertama Asia di Sunway, turut dipasarkan di Thailand untuk menarik lebih ramai pelancong negara itu mengunjungi Malaysia, katanya.

Malaysia kata Sulaiman, sememangnya terkenal sebagai destinasi pelancongan keluarga dalam kalangan pelancong Thai. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA