Bilbao juara Piala Super

Bilbao juara Piala Super

BARCELONA, 18 Ogos – Athletic Bilbao menamatkan kemarau kejuaraan selama 31 tahun apabila menjulang trofi Piala Super Sepanyol selepas menewaskan Barcelona dengan agregat 5-1.

Pada perlawanan kedua awal pagi ini, keputusan seri 1-1 sudah cukup untuk Bilbao muncul juara ke atas penyandang juara Eropah itu. Bilbao mencatat keputusan selesa menang 4-0 ke atas Barcelona pada perlawanan pertama, Jumaat lalu.

Pada aksi awal pagi tadi, kehadiran Lionel Messi nyata memberi sumbangan bermakna apabila menyumbat gol Barca pada minit ke-44.

Namun, usaha untuk merapatkan jurang defisit menjadi mimpi buruk buat Barcelona apabila pemain pertahanannya, Gerard Pique dilayangkan kad merah selepas menjerit ke muka penjaga garisan pada minit ke-56.

Peluang itu nyata dipergunakan Bilbao untuk mengasak dan mendapat gol penyamaan pada minit ke7a menerusi Aritz Aduriz. Pada perlawanan pertama Jumaat lalu, Aduriz meledak hatrik.

Pemain dan pegawai pasukan Atletic Bilbao meraikan kejayaan menjuarai Piala Super Sepanyol selepas menumpaskan Barcelona di Stadium Nou Camp semalam. – Reuters
Pemain dan pegawai pasukan Atletic Bilbao meraikan kejayaan menjuarai Piala Super Sepanyol selepas menumpaskan Barcelona di Stadium Nou Camp semalam. – Reuters

Bilbao juga terpaksa bermain dengan 10 pemain apabila Kike Sola dibuang padang pada minit ke-86 selepas mengasari Javier Mascherano.

Kali terakhir Bilbao mendakap trofi kejuaraan pada tahun 1984 apabila menewaskan Barcelona 1-0 pada final Copa del Rey, sekali gus melengkapkan kejuaraan La Liga.

Piala Super Sepanyol secara tradisinya pertemuan antara pemenang Copa del Ray musim lalu dengan juara La Liga, namun disebabkan musim lalu Barcelona menjuarai kedua-duanya, Bilbao dipilih bertemu Barca selaku naib juara Copa del Rey.

“Kami menunggu saat ini untuk masa yang lama,” kata jurulatih Bilbao, Ernesto Valverde. – AFP