Bilic siksa McClaren lagi

Bilic siksa McClaren lagi

LONDON, 15 Sept (AFP) – Dimitri Payet memastikan Slaven Bilic menikmati satu lagi petang yang sukar dilupakan; kali ini apabila Steve McClaren sekali lagi menjadi mangsanya apabila West Ham membenam Newcastle 2-0, semalam.

Hampir lapan tahun selepas Bilic memperoleh kemenangan 3-2 di Wembley yang menamatkan harapan McClaren memimpin England untuk Euro 2008, dua jurulatih itu bertembung sekali lagi di Upton Park dengan mata Liga Perdana menjadi taruhan.

Skripnya tetap sama untuk McClaren apabila Payet menjaringkan satu gol dalam setiap babak untuk menjulang Hammers ke tempat kelima dan meninggalkan Newcastle mereput di tempat tercorot tanpa kemenangan setakat ini.

Satu-satunya penyelamat McClaren yang hanya mengambil alih di Newcastle semasa cuti musim ialah musim masih baru dan sudah pasti terlalu awal untuk dia dipecat, bahkan dia juga dipecat oleh FA Inggeris selepas tewas dalam pertemuan dengan Bilic sebelum ini.

Selepas disindir sebagai ‘si bangang dengan payungnya’ selepas England tewas kepada Croatia semasa hujan pada petang 2007, McClaren terpaksa menderita penghinaan yang berbeza kali ini.

Dimitri Payet (tengah) bersaing dengan Coloccini dan Sissoko dari Newcastle dalam aksi Liga Perdana di Upton Park semalam. – Reuters
Dimitri Payet (tengah) bersaing dengan Coloccini dan Sissoko dari Newcastle dalam aksi Liga Perdana di Upton Park semalam. – Reuters

Pengurus dan pemain Newcastle pula terpaksa berjalan kaki untuk satu batu terakhir perjalanan ke Upton Park selepas bas pasukan tersangkut pada waktu puncak.

Perjalanan melalui jalan-jalan di timur London dilihat sebagai persediaan paling teruk untuk menghadapi West Ham selepas Newcastle mempamerkan rentak hambar sehingga gagal menjaringkan gol liga sejak hari pertama musim ini.

“Ini adalah satu panggilan untuk bangkit. Permainan ini menyakiti saya bagai nak gila. Jika kami tidak betul, kami akan ditewaskan,” kata McClaren. “Saya tidak menyalahkan perjalanan jurulatih, anda perlu berurusan dengan itu dan kami tidak menanganinya dengan baik.”

Bagi Bilic, ia adalah satu kemenangan pertama di laman sendiri sejak menggantikan Sam Allardyce dan permulaan positif yang berterusan termasuk kemenangan mengagumkan di Arsenal dan Liverpool.