Bilik berwarn...

Bilik berwarna merah

“KALAU kau teringin nak rasai pengalaman Game Online yang baru, cuba tekan link ini,” Fendi menatap pesanan ringkas dari sahabatnya, Miyo melalui peti pesanan Facebook sambil mengetuk-ngetuk jarinya di atas meja. Tidak lama tadi dia telah menghantar pesanan kepada sahabatnya itu menyatakan bahawa dia sudah bosan bermain game online yang sama asyik berulang-ulang. Dia inginkan sesuatu yang baru yang lebih menyeronokkan dan mencabar. Jadi Miyo telah membalas dengan memberikannya satu link seperti yang tertera pada kaca skrin.

Fendi seakan-akan teragak untuk menekan pada link tersebut kerana menurut Miyo, ianya merupakan pautan yang akan membawa dirinya jauh ke web yang ‘paling dalam’ dan agak merbahaya untuk orang awam sepertinya. Untuk ke pautan itu pula, dia tidak boleh sekadar copy paste di kotak carian Google atau Yahoo dan yang seangkatan dengannya tetapi dia perlu memuat turun satu carian enjin khas bernama Tor. “Kau akan rasai pengalaman yang paling menyeronokkan dalam hidup kau sebab web ini bukan macam web biasa yang orang selalu guna. Ada banyak lagi input-input web yang tidak pernah kita jumpai di web biasa tetapi ada di dalam web ini. Welcome to other site of the web, Bro!, itu pun kalau ada beranilah haha..” “Hello semua!, hari ini saya akan menjalankan satu eksperimen kepada subjek baru saya, anda bebas memberikan arahan melalui chat box di tepi. Arahan yang paling banyak diminta akan saya tunaikan dengan segera. Ayuh kita mulakan eksperimen, jangan biarkan Bitcoin anda membazir begitu sahaja, hahaha.”

Fendi seakan terdiam seketika. Dia mengambil sedikit masa untuk menghadap teks tersebut yang baginya agak kurang jelas. Sedang dia berfikir tiba-tiba keluar satu mesej baru dari salah seorang pengunjung yang menginginkan subjek supaya dipusing-pusingkan badannya sehingga pening lalu berlari mengelilingi bilik. Arahannya telah disokong oleh lebih kurang 10 orang pengunjung lain. Tanpa menunggu panjang, ketua bertopeng terus berjalan ke arah subjek lalu membisikkan arahan tersebut. Subjek pada mulanya hanya diam, tidak mengendahkan langsung arahannya namun selepas diletakkan taser gun ke badannya sehingga dia menggelupar, subjek terus akur.

Setelah dipusing-pusingkan badannya sebanyak 20 pusingan, dia terus membuka langkah untuk berlari. Langkahnya yang terhuyung hayang seperti orang mabuk minum todi dan beberapa kali terjatuh tersembam ke atas lantai telah berjaya mencuit hati Fendi. Ketawa besar dia melihat gelagat subjek yang baginya sangat lucu.

Chat box menjadi semakin meriah dengan arahan bertalu-talu daripada 20 orang pengunjung web. Masing-masing memberikan arahan yang seakan sengaja mahu membuli subjek untuk dijadikan bahan hiburan mereka. Fendi yang pada mulanya hanya menjadi pemerhati akhirnya terjebak sekali dengan memberikan arahan supaya subjek digeletekkan telapak kakinya selama yang mungkin.

Arahannya itu yang telah disokong ramai terus ditunaikan oleh ketua bertopeng dengan pantas sekali. Subjek kelihatan sedang tertawa sambil menolak kerusinya ke depan dan ke belakang akibat menahan geli yang teramat sangat sehingga akhirnya dia terjatuh ke belakang. Kakinya meronta-ronta sehingga beberapa kali tersepak muka ketua bertopeng yang gagal untuk mengelak. Makin galak Fendi mentertawakan mereka sehingga berair-air matanya. Begitu juga dengan para pengunjung lain yang turut saling berkongsi perasaan geli hati mereka di chat box. Mereka sangat terhibur dengan arahan yang telah diberikan oleh Fendi itu. Sedikit sebanyak Fendi berasa bangga dengan cadangannya.

Dia semakin taksub dengan permainan tersebut sehingga sempat berlari ke dapur sebentar mengambil sedikit jajan untuk mengisi perutnya sambil melihat subjek diseksa. Lagaknya seperti sedang menonton sebuah filem komedi sambil memakan popcorn di panggung wayang dengan kedua-dua belah kakinya diletakkan bersilang di atas meja. Cukup santai sekali.

Dilihat subjek ketika itu sedang menyuapkan sekeping roti ke dalam mulutnya dengan menggunakan kaki. Apabila subjek gagal berbuat demikian, dia akan ditembak dengan taser gun. Keadaan itu telah memaksa subjek untuk melalukannya sehingga berjaya walaupun sukar kerana dia tidak sanggup membiarkan dirinya dari terus-terusan ditembak. Arahan demi arahan terpaksa dipatuhi oleh si subjek dengan terpaksa. Sehinggalah keluar satu mesej yang telah menghentikan sedikit kerancakkan mereka di chat box. “Tikam subjek dengan pisau di bahagian pehanya.”

Fendi bingkas menurunkan kedua-dua belah kakinya ke bawah sambil beberapa kali membetulkan kaca mata tebalnya. Betul ke apa yang telah dibacanya itu? Dia bertambah terkejut apabila melihat ramai para pengunjung yang telah menyetujui arahan tersebut. Matanya kemudian terus tertumpu pada si ketua bertopeng yang sedang mengorak langkah meninggalkan subjek yang sedang keletihan itu berseorangan di dalam bilik.

Tidak lama kemudian, ketua bertopeng muncul dengan membawa sebilah pisau! Dia terus menerpa ke arah subjek lalu menikam tepat ke bahagian peha kanan subjek sehingga darah terpercik-percik keluar. Subjek yang tadinya terpinga-pinga kelihatan sedang meraung kesakitan sambil menghayun-hayunkan kepalanya menahan sakit. Fendi terlopong dengan matanya terbeliak seakan tidak percaya dengan apa yang baru sahaja dilihatnya itu. Tidak semena-mena jantungnya berdegup dengan sangat kencang. “Toreh bahagian luka tikaman sehingga ke bahagian lutut.”

Fendi semakin ketakutan. Tangannya yang sedikit menggigil terus menekan butang pangkah berkali-kali pada kotak mesej tersebut namun sekali lagi satu mesej baru keluar tetapi kali ini daripada ketua bertopeng pula. “Aku tahu siapa kau sebab aku dapat melihat setiap gerak geri kau melalui komputer aku. Kau berambut pendek dibelah tepi, berkaca mata tebal dan berbaju t-shirt berwarna kelabu. Nama penuh kau, Affendi dan kau duduk di Flat Cempaka, Bangi, betul bukan? Haha kau takkan dapat lari daripada aku!”

Degupan jantung Fendi semakin rancak sehingga rasa mahu tercabut keluar daripada tubuh akibat terlalu takut. Dia masih tidak percaya bagaimana mereka dapat tahu semua maklumat peribadi dirinya sehinggakan baju yang melekap pada tubuhnya ketika itu turut berjaya dikesan oleh mereka?! Matanya terus meliar mencari sesuatu yang mungkin dapat membantu mereka mengesan identitinya. Akhirnya dia terlihat sesuatu!

Pantas tangannya menarik laci meja lalu digeledah isi perutnya dengan sangat rakus. Dikeluarnya segulung duct tape alu terus dilekat pada web cam komputer ribanya. Dia percaya mereka pasti telah mengesan identitinya melalui kamera tersebut. Ceh! Dia sepatutnya bertindak lebih awal dengan menampal kamera tersebut terlebih dahulu sebelum melayarari ‘web paling dalam’ namun segalanya sudah terlambat.

Dia bingkas mematikan suis komputer itu serta merta sebagai langkah terakhir lalu skrin terus bertukar menjadi gelap. Kedengaran sangat jelas bunyi nafasnya yang terputus-putus akibat degupan jantung yang sangat kencang sambil bahunya turun naik mengikut alunan nafas. Dia terdiam sambil memandang kosong skrin komputernya yang hitam pekat namun jelas menampakkan sedikit pantulan wajahnya yang sangat cuak ketika itu. Perlahan-lahan dia menarik nafas sedalam yang mungkin bagi menstabilkan kembali degupan jantungnya.

Tiba-tiba matanya dapat melihat satu susuk tubuh lelaki bertopeng sedang berdiri di belakangnya bersedia untuk menikam dirinya! Dengan pantas dia menoleh namun apa yang dilihatnya ketika itu cuma sebuah almari pakaian. Rupanya dia cuma berkhayal. Mungkin kerana terlalu takut dan masih fobia dengan adegan tikam menikam tadi.

Malam itu Fendi tidak dapat tidur dengan lena. Dia masih lagi dihantui dengan kata-kata ugutan daripada admin web yang mahu menangkap dirinya kerana telah meninggalkan bilik eksperimen sebelum eksperimen tamat. Perasaan takutnya bertambah apabila memikirkan yang mereka sudah dapat mengesan tempat tinggalnya dan tidak mustahil dirinya akan dijejaki.

Tidak senang duduk dia di atas katil itu ditambah pula dengan cuaca yang sangat dingin malam itu kesan daripada hujan yang lebat petang tadi.

“Krekk!” Tiba-tiba kedengaran bunyi pintu seakan dibuka. Fendi mula cuak. Seingatnya dia sudah mengunci semua pintu rumahnya siap dengan mangga sekali sebelum dia masuk tidur tadi. Siapa pulak yang telah membuka pintu rumahnya?

Fendi bingkas mencapai penukul yang telah siap tersedia di atas meja sebagai senjata sekiranya berlaku sebarang malapetaka yang tidak diduga. Dengan perasaan yang sangat cuak dia terus mengatur langkah ke luar bilik dengan perlahan-lahan sambil matanya melilau memandang sebarang kelibat di dalam rumahnya itu. Keadaan di luar itu yang gelap-gelita dan hanya bertemankan sedikit cahaya daripada bulan melalui tingkap rumah telah mengehadkan penglihatannya. Tanpa dia sedar kakinya telah membawa dirinya ke ruang tamu dan dia terperanjat apabila melihat pintu rumah terkunci dengan rapat sekali! Ah! Bunyi apa yang aku dengar tadi? Adakah mainan perasaan aku sekali lagi? Ceh!

“Krekk!” Tiba-tiba telinganya sekali lagi dapat menangkap bunyi pintu dibuka namun kali ini bunyi itu datangnya dari bilik tidurnya! Fendi bingkas menyorok di sebalik dinding pemisah antara ruang tamu dan ruangan bilik untuk melihat. Dengan jantungnya yang berdegup kencang, dia perlahan-lahan menjengukkan sedikit kepalanya bagi memantau keadaan bilik.

Alangkah terkejutnya dia apabila terlihat satu susuk tubuh lelaki bertopeng sedang berdiri tercegat di hadapan pintu masuk biliknya sambil memegang sebilah pisau! Akibat terlalu terkejut, dia telah terjatuhkan penukul dari genggamannya lalu alat yang berat itu terus menghentam lantai sehingga menghasilkan bunyi yang agak kuat. Keadaan itu telah menyebabkan lelaki bertopeng terus menoleh ke arahnya!

Dengan pantas Fendi terus berlari menyembunyikan dirinya di bawah sebuah sofa panjang di ruang tamu. Menggigil-gigil dia dibawah sofa itu sambil kedua-dua belah tangannya menutup mulut kerana bimbang jika dia mengeluarkan sebarang bunyi yang seterusnya dapat menarik perhatian lelaki itu. Dia hanya membiarkan peluh jantan membasahi seluruh wajahnya sambil melihat sepasang kaki berkasut boot hitam berjalan ke arah penukul yang telah dijatuhkannya tadi. Lelaki itu kemudiannya dilihat telah mengambil penukul tersebut lalu mencampaknya tepat terkena TV buruknya sehingga pecah berderai! Terbeliak biji mata Fendi melihat aksi yang tidak diduga itu.

Fendi hanya memerhati sepasang kaki itu yang semakin menghampiri sofa yang didiaminya.

“Tap, tap, tap,” bunyi but itu yang semakin kuat kedengaran sehingga akhirnya dia berhenti tepat di hadapan matanya. Lelaki bertopeng itu seakan tercegat agak lama di situ sebelum dia tiba-tiba melabuhkan punggungnya di atas sofa tersebut. Fendi terasa bagai mahu pengsan di situ kerana dia dapat merasa yang nyawanya seakan sudah berada di hujung-hujung tanduk. Dia tidak pasti apa yang sedang dilakukan lelaki bertopeng itu di atas sofa kerana dia langsung tidak mendengar sebarang bunyi. Tanpa dia sedar setitis air mata mula mengalir keluar dari matanya akibat terlampau takut. Tangannya semakin kuat menekan mulutnya supaya tidak mengeluarkan sebarang bunyi. Tiba-tiba kaki lelaki bertopeng itu bergerak. “Boo!” sergah lelaki bertopeng sambil menjengukkan kepalanya lalu memandang tepat ke arah Fendi. Kepalanya tiba-tiba berasa berat dan dunia mulai hitam.

Perlahan-lahan Fendi membuka kelopak matanya. Dengan pandangan yang sedikit kabur akibat wajahnya yang telah ditutup dengan kain guni, dia dapat melihat dirinya berada di sebuah bilik kecil yang hanya ditemani dengan sebuah lampu neon bersama sebuah meja komputer tidak jauh darinya.

Di hadapannya pula terdapat banyak skrin komputer tergantung di dinding yang sedang memaparkan pelbagai jenis manusia dari pelbagai rupa sedang diperhatikan melalui web cam. Lebih memeranjatkan adalah dia dapat melihat wajah sahabatnya, Miyo di salah sebuah skrin tersebut!

Fendi terus menjerit-jerit memanggil nama temannya itu namun langsung tidak didengari oleh Miyo.

“Tap, tap, tap…” Tiba-tiba dia dapat mendengar bunyi kasut boot sedang berjalan dari arah kanannya. Dengan pantas dia menoleh lalu terlihat lelaki bertopeng anonymous sedang memerhatikannya! “Hi, Fendi! Saya dengar awak inginkan sesuatu yang baru yang lebih menyeronokkan dan mencabar jadi adakah awak sudah bersedia menjadi subjek eksperimentasi saya?”