Bilik pamer anak panda diwujudkan

Bilik pamer anak panda diwujudkan

KUALA LUMPUR, 21 Ogos (Bernama) – Sebuah bilik kaca akan diwujudkan untuk dijadikan bilik pameran anak panda gergasi yang dilahirkan oleh Liang Liang apabila berusia dua bulan bagi memberi peluang kepada orang ramai melihat dengan lebih dekat.

Timbalan Presiden Zoo Negara Rosly@Rahmat Ahmat Lana berkata bilik kaca berkenaan akan disiapkan dalam tempoh 60 hingga 70 hari.

“Kami memahami keterujaan rakyat Malaysia dan pelancong asing untuk melihat anak panda dengan lebih dekat.

“Bilik kaca berkenaan akan dilengkapi dengan semua keperluan yang diperlukan oleh anak panda bagi mengelakkan sebarang perkara yang tidak diingini berlaku,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Rosly berkata ketika ini, Liang Liang dilihat lebih mudah untuk didekati selepas pasukan veterinar berjaya memujuk panda gergasi betina itu bagi membolehkan pasukan veterinar melihat anaknya.

Sidang media ketika kelahiran pertama anak panda di Malaysia baru-baru ini. – Bernama
Sidang media ketika kelahiran pertama anak panda di Malaysia baru-baru ini. – Bernama

“Sejak semalam, pasukan veterinar meneruskan aktiviti memujuk Liang Liang dengan membelai, mengusap dan memanggil namanya bagi memastikan Liang Liang memberi kepercayaan kepada pasukan veterinar untuk memantau keadaan bayinya bagi tujuan pemeriksaan kesihatan.

“Walaupun Liang Liang masih tidak membenarkan bayinya itu dipegang, namun ‘kebenaran’ Liang Liang untuk kami melihat bayi itu dari jarak dekat sudah menggembirakan pasukan veterinar,” katanya.

Tambahnya, anak panda dan ibunya itu kini berada dalam keadaan sihat dan Liang Liang turut menghasilkan susu badan yang banyak.

“Setakat petang ini, Liang Liang masih menerima rebung sebanyak dua kilogram satu hari bersama-sama dengan glukos dan air garam,” katanya.

Katanya pemakanan itu akan diteruskan mengikut keperluan Liang Liang dan anaknya bagi memastikan tumbesaran kedua-dua panda itu berada dalam keadaan terbaik.

“Walaupun kami memberi tumpuan kepada Liang Liang dan anaknya, namun kami tidak pernah melupakan Xing Xing malah penjagaan rapi dan diet untuk panda gergasi jantan itu tetap diberikan keutamaan,” katanya.

Liang-Liang selamat melahirkan seekor panda pada 1.45 petang Selasa lepas di Pusat Konservasi Panda Gergasi (GPCC) di Zoo Negara.

ARTIKEL YANG SAMA