Bill Hurley kejutkan arena sukan golf

Bill Hurley kejutkan arena sukan golf

BETHESDA, Amerika Syarikat, 27 Jun (AFP) – Pemain golf yang tidak tersohor yang berada di ranking 607 dunia, Billy Hurley III melakukan kejutan apabila menjuarai gelaran Jelajah PGA pertamanya dengan mengungguli kejohanan Quicken Loans National, awal pagi tadi.

Dibantu dengan pukulan chip menakjubkan pada lubang ke-15 diikuti put terbaik pada lubang berikutnya, pemain berusia 34 tahun menang dengan kelebihan tiga pukulan mengecewakan bekas pemain nombor satu dunia, Vijay Singh.

Hurley yang juga produk akademi golf tempatan di Naval Academy yang terletak berhampiran kediamannya di Annapolis, di sini, menggunakan sebaiknya kelebihan selaku pendahulu menuju pusingan terakhir di lapangan Congressional untuk menamatkan hari terakhir dengan dua bawah par 69.

Ketika dia hanya memiliki kelebihan satu pukulan dengan berbaki empat lubang, Hurley melakukan pukulan chip pada jarak 32 meter untuk mencatat birdie pada lubang ke-15 par lima.

Dia kemudian membenam birdie pada lubang berikutnya untuk memperoleh kelebihan tiga pukulan, sekali gus menang dengan keseluruhan 17 bawah par 267.

Singh yang memburu gelaran pertama Jelajah PGA dalam tempoh lapan tahun melakukan catatan terbaiknya 65 pada pusingan terakhir namun terpaksa berpuas hati di tempat kedua.

Rakan senegara Hurley dari Amerika Syarikat (AS), Bill Haas (68) dan pemain Sepanyol, Jon Rahm (70) ketinggalan satu pukulan untuk berkongsi kedudukan ketiga selepas melakukan keseluruhan 13 bawah par.

Kemenangan di National jelas cukup emosi buat Hurley di mana bapanya, Willard Hurley Jr hilang sebelum kejohanan Quicken Loans National tahun lalu, ditemui mati kerana membunuh diri.

“Saya tidak dapat memikirkan kejohanan yang lebih baik untuk memenangi Jelajah PGA pertama saya jadi saya amat teruja untuk melakukannya pada hari ini,” kata Hurley kepada CBS Sports sambil mengesat air matanya.

“Ia tahun yang amat sukar, amat amat sukar, jadi bagus untuk mendapat sesuatu yang bagus.”

Kejohanan Quicken Loans National dihoskan oleh bekas pemain golf nombor satu dunia, Tiger Woods.

ARTIKEL YANG SAMA