Bimbang ekonomi China jejas unjuran pertumbuhan Asia-Pasifik

Bimbang ekonomi China jejas unjuran pertumbuhan Asia-Pasifik

SINGAPURA, 10 Sept – Data perdagangan yang agak teruk dan kebimbangan tentang kestabilan pasaran China telah menjejaskan unjuran pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) bagi ekonomi di Asia Pasifik.

Standard & Poor’s Ratings Services (S&P), dalam laporan, Asia-Pacific Growth Slips Again As China Wobbles And Trade Tumbles Further, mengunjurkan pertumbuhan perlahan, keadaan tidak menentu yang tinggi dan lebih banyak risiko bagi rantau ini. Agensi penarafan itu berkata unjuran pertumbuhan KDNK 2015 bagi China kekal tidak berubah.

Bagaimanapun, ia menurunkan unjuran KDNK bagi 2016 kepada 6.3 peratus dan 2017 kepada 6.1 peratus.

S&P juga mengurangkan unjuran KDNK bagi Jepun kepada 0.6 peratus pada 2015.

Bagi Australia, S&P menurunkan unjuran KDNK kepada 2.5 peratus bagi 2015 dan 2016, dan 2.9 peratus pada 2017. Ketua Ekonomi S&P Asia-Pasifik, Paul Gruenwald berkata ekonomi utama Asia (Hong Kong, Singapura, Korea Selatan dan Taiwan) turut menerima kesan daripada pertumbuhan eksport perlahan.

“Dan ekonomi-ekonomi ini juga mungkin tidak menjadi penerima utama daripada pemulihan AS. Kami telah menurunkan lagi unjuran pertumbuhan KDNK mereka bagi 2015-2017,” katanya.

Pembetulan pasaran saham utama China dan langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan ini telah mencetuskan kebimbangan pasaran terhadap keupayaan penggubal dasar untuk menangani kegawatan pasaran dan kemungkinan merebak ke negara-negara lain di seluruh dunia. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA