Bimbang gejala obesiti

Bimbang gejala obesiti

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Julai Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah mengingatkan semua pihak perlu memberi perhatian kepada perkembangan semasa lebih-lebih lagi yang berkaitan dengan hal ehwal kesihatan.

Dalam titah perutusan sempena Hari Raya Aidilfitri 1437H yang disiarkan secara langsung melalui Radio Televisyen Brunei (RTB) malam ini, Baginda menekankan agar pihak-pihak yang berkenaan dalam kerajaan agar meneruskan usaha bagi mengatasi gejala obesiti yang meningkat di negara ini.

“Kita mestilah cepat bertindak memupuk kesedaran supaya semua orang menjalani hidup sihat dan gaya pemakanan sihat. Ke arah ini pihak berkenaan dalam kerajaan tidaklah boleh lengah lagi daripada memberi tunjuk ajar dan bimbingan kepada masyarakat.

“Promosi dan motivasi mesti ditingkatkan tidak memadai hanya sekali dua sahaja ia dilakukan, tetapi diteruskan sehingga benar-benar diresapi kepada masyarakat,” tegas Baginda.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia memulakan titah dengan menzahirkan rasa syukur dan sukacita, Baginda dan keluarga serta merakamkan ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh rakyat dan penduduk yang beragama Islam di Negara Brunei Darussalam di mana sahaja mereka berada.

Baginda Sultan berkenan mengurniakan titah perutusan sempena Hari Raya Aidilfitri tahun ini. - Gambar Infofoto
Baginda Sultan berkenan mengurniakan titah perutusan sempena Hari Raya Aidilfitri tahun ini. – Gambar Infofoto

“Semoga sekaliannya berada dalam keadaan sihat walafiat selepas berjaya menunaikan salah satu rukun Islam, puasa pada bulan Ramadan.

“Mulai malam ini sehingga imam mengangkat takbiratulihram bagi sembahyang Hari Raya pada keesokannya, kita disunatkan bertakbir dan esok pagi juga kita bergerak ke masjid atau surau atau balai ibadat untuk menunaikan sembahyang sunat Aidilfitri.

“Demikian indahnya urutan ibadah yang telah disyariatkan oleh Allah ini, dengan kita mula-mula berhempas pulas memenuhi tuntutan berpuasa diikuti sembahyang Tarawih, bertadarus Al-Quran dan Qiamullail,” titah Baginda.

Menurut Baginda, dalam jangka waktu yang agak panjang sebulan penuh kita sebenarnya diuji sama ada mampu ataupun tidak untuk bersabar untuk memenuhi titah perintah Allah untuk berpuasa.

“Jika kita mampu bersabar, maka kitalah orang yang berjaya, sedang kalau tidak maka kitalah orang yang kekal kecewa di hari akhirat kelak.

“Oleh itu, berhaklah bagi siapa saja yang sanggup bersabar untuk bergembira pada hari ini sebagai tanda kejayaan mereka melalui ujian besar berpuasa pada bulan Ramadan.”

Kebawah Duli Yang Maha Mulia bertitah, sangat biasa kita mendengar orang menyebut bahawa puasa itu adalah ‘terapi ketuhanan’ untuk kesihatan. Ia sangat berkesan untuk mengatasi pelbagai masalah seperti masalah glukosa tinggi dalam darah, tekanan darah tinggi berlebihan, berat badan, obesiti dan sebagainya.

“Kesihatan adalah faktor penting untuk semua, jika badan sihat, semua kerja boleh dibuat dengan baik. Sebaliknya jika tidak sihat maka segala aktiviti tidak akan dapat berlaku dengan sempurna.

“Inilah rahsia atau harga kesihatan. Ugama Islam sangat mementingkan kesihatan.

Antara langkah paling berkesan untuk mengekalkan kesihatan ialah melalui pemakanan.”

Titah Baginda lagi, Al-Quran dan hadis Nabi Sallallahu Alaihi Wassalam sendiri tidak ketinggalan menyebut tentang pemakanan.

“Al-Quran mengungkap ba-hawa makan minum itu boleh saja tetapi jangan sampai berlebih-lebihan. Sementara hadis Nabi Sallallahu Alaihi Wassalam pula menyebutkan sukatan; satu pertiga untuk makanan, satu pertiga lagi untuk minuman dan satu pertiga pula untuk bernafas.

“Inilah kaedah pemakanan bagi kesihatan. Kita umat Islam dituntut untuk memakai kaedah ini, di mana sebagai lengkapnya ialah ibadah puasa. Baru-baru ini kita mendengar atau membaca laporan ‘Global Nutrition Report 2016’ yang menempatkan Negara Brunei Darussalam sebagai negara ranking tertinggi bagi obesiti dalam kalangan orang dewasa di rantau Asia.

“Manakala hasil Kajian Status Kesihatan dan Pemakanan Kebangsaan Negara Brunei Darussalam sendiri pula telah mendapati bahawa tahap pe-ningkatan berat badan berlebihan dan obesiti mencapai kepada 61 peratus dewasa.

“Sementara kesan masalah ini telah pula dibutirkan sebagai; lebih dari 30 peratus penghidap tekanan darah tinggi, 12.4 peratus penghidap diabetes dan 70 peratus penderita dari kolesterol tinggi.

“Perangkaan ini amatlah mencemaskan, kita tidak dapat memandang ringan lagi melainkan dari sekarang kita perlu mendisiplinkan diri untuk mengatasi gejala ini daripada terus meningkat.

“Caranya kita mestilah cepat bertindak memupuk kesedaran supaya semua orang menjalani hidup sihat dan gaya pemakanan sihat. Ke arah ini pihak berkenaan dalam kerajaan tidaklah boleh lengah lagi daripada memberi tunjuk ajar dan bimbingan kepada masyarakat.

“Promosi dan motivasi mesti ditingkatkan tidak memadai hanya sekali dua sahaja ia dilakukan, tetapi diteruskan sehingga benar-benar diresapi kepada masyarakat. Akhirnya beta berharap semua kita di negara ini akan mengambil perhatian terhadap apa jua perkembangan semasa terutama kesihatan adalah satu rukun untuk memperolehi segala kebaikan.”

ARTIKEL YANG SAMA