Bimbang gejala penyalahgunaan dadah

Bimbang gejala penyalahgunaan dadah

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 9 Ogos – Statistik Biro Kawalan Narkotik (BKN) menunjukkan penyalahgunaan Syabu berada di tempat teratas di negara ini, diikuti dengan Ganja dan Erimin5.

Bagaimanapun, Erimin5 dikenal pasti paling ketara di kalangan remaja yang menyalahguna dadah di negara ini dan BKN telah menangkap mereka yang terbabit sejak kira-kira lima tahun lalu.

Pegawai Narkotik BKN Daerah Belait, Hajah Norhayani binti Abdullah memberitahu media hari ini, pihak BKN telah mula menangkap mereka yang terbabit menyalahguna Erimin5 lima tahun lalu tetapi dalam jumlah yang sedikit.

Bagaimanapun menurutnya pada masa ini, jenis dadah rekreasi itu sudah semakin popular di negara ini, terutamanya dalam kalangan remaja.

Menurutnya, dadah rekreasi itu, selalunya digunakan oleh mereka yang pergi ke tempat-tempat hiburan, untuk bersuka ria dan sebagainya, dan ia amat bahaya, kerana sukar dirasakan, tetapi akan boleh membuatkan lupa segalanya serta boleh menyebabkan ketagihan.

Pemangku Penghulu Mukim Labi menyaksikan pameran yang diadakan.
Pemangku Penghulu Mukim Labi menyaksikan pameran yang diadakan.

“Jika ia dicampurkan ke dalam minuman, ia sukar dikesan melalui rasa, tetapi ia boleh menyebabkan seseorang itu lupa segalanya, dan ia amat merbahaya terutama sekali kepada kalangan kaum wanita, ia boleh menyebabkan berlakunya kes rogol dan sebagainya.

“Ramai yang menyangka dadah tersebut kurang bahaya, tetapi ia adalah tidak benar, kerana setiap jenis dadah adalah sangat bahaya bagi setiap individu,” tekannya.

Bagaimanapun, menurutnya lagi, Syabu masih mencatat penyalahgunaan tertinggi, manakala itu, ganja ketara pengambilannya dalam kalangan yang berusia lingkungan usia 20an.

Beliau yang ditemui selepas menyampaikan taklimat mengenai bahayanya penyalahgunaan dadah pada Program Awasi Anak Kitani anjuran Unit Hubungan Masyarakat, Bahagian Kenegaraan dan Kemasyarakatan Jabatan Penerangan di Dewan Serba Guna Mukim Labi, hari ini.

Menurutnya, pada tahun 2015 seramai 639 orang telah ditangkap iaitu kira-kira 0.14 peratus populasi negara, dan daripada jumlah tersebut seramai 535 orang adalah lelaki dan 104 orang wanita.

Sementara itu, dari segi usia pula, seramai 476 orang dalam lingkungan usia 26 tahun ke atas, 156 orang berusia lingkungan 16 hingga 25 tahun dan tujuh orang berusia 15 tahun ke bawah, selain statistik BKN juga menunjukkan tiga jenis dadah teratas iaitu Syabu, Ganja dan Erimin5.

Hajah Norhayani juga berkata, untuk mengawal kemasukan dadah ke negara ini, BKN terus mengetatkan pemeriksaan di pos-pos kawalan, dan membuat siasatan jika menerima laporan orang awam melalui hotline mereka, dan siasatan juga sentiasa dilakukan dari semasa ke semasa.

Dalam pada itu, beliau juga menyeru ibu bapa dan penjaga supaya terus mengawasi anak-anak mereka terutama sekali mengenal pasti dengan siapa mereka berkawan, dan dengan siapa mereka berhubungan melalui kemudahan Internet dan sebagainya.

“Jika ibu bapa mengetahui anak mereka terlibat dalam penyalahgunaan dadah adalah disarankan untuk tampil ke hadapan dan mendapatkan bantuan daripada BKN, dan mereka boleh meminta untuk anak-anak mereka dimasukkan ke dalam pengawasan secara sukarela.

“Jika mereka berjaya melalui program pengawasan, tiada catatan laporan dibuat, kecuali jika mereka dibawa ke mahkamah, BKN terpaksa membuat catatan laporan atau rekod,” ujarnya.

Hampir 100 orang telah menghadiri program anjuran dengan kerjasama BKN itu, yang antara lain dihasratkan untuk dapat meningkatkan kesedaran ibu bapa mengenai bahaya penyalahgunaan dadah yang boleh menjerumuskan anak-anak mereka kepada aktiviti yang tidak sihat.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Pemangku Penghulu Mukim Labi, Awang Hanapi bin Mohd Siput.

Turut hadir ialah ahli-ahli majlis perundingan mukim dan kampung di bawah tadahan Mukim Labi. Majlis tersebut juga telah dimuatkan dengan penerangan ringkas mengenai program yang telah disampaikan oleh Pegawai Penerangan selaku Ketua Cawangan Penerangan Belait, Awang Hisyam bin Haji Idris.

Acara kemuncak program adalah taklimat mengenai penyalahgunaan dadah yang disampaikan oleh Hajah Norhayani yang antara lain menekankan bahawa gejala penyalahgunaan dadah dalam kalangan masyarakat negara semakin membimbangkan dan perlu ditangani dengan serius. Sehubungan itu, pelbagai usaha telah giat dilaksanakan bagi membanteras aktiviti yang boleh melemahkan negara, apatah lagi jika yang melakukannya para belia yang seharusnya menjadi aset negara.

Sebagai salah sebuah agensi kerajaan yang turut bertanggungjawab dalam memastikan anak-anak bangsa bergerak sihat dan cergas untuk membangun negara, BKN mengadakan Program Awasi Anak Kitani dengan harapan supaya ia dapat membuka minda para belia untuk menjauhi penggunaan dadah.

Walaupun BKN diberikan mandat bagi pembanterasan apa-apa jua aktiviti berkaitan dadah seperti pengedaran, penjualan dan memakannya, tetapi atas dasar tanggungjawab bersama ini telah memberikan inspirasi kepada Unit Hubungan Masyarakat untuk sama-sama turun padang bagi membantu kerajaan membanteras gejala tersebut. Program turut diisikan dengan pameran daripada Jabatan Penerangan dan BKN.

ARTIKEL YANG SAMA