Bimbang kerenah pelanggan

Bimbang kerenah pelanggan

Oleh Hajah Saemah Kepli

SERIA, 29 Jan – Beberapa orang pemilik kedai di pekan ini melahirkan kebimbangan dan kurang selesa atas kemunculan pelanggan yang mendakwa mahu membeli-belah di kedai mereka tetapi akhirnya meninggalkan barangan yang dilonggokkan di kaunter pembayaran begitu sahaja lalu menghilangkan diri.

Salah seorang pemilik kedai menjual alat tulis memberitahu Media Permata hari ini, seorang remaja perempuan dalam lingkungan 14 hingga 15 tahun, telah masuk ke kedainya, hampir pukul 12 tengah hari kelmarin, kemudian memilih beberapa barangan daripada kedainya, termasuk bendera kecil, fail-fail, buku dan sebagainya termasuk beberapa jenis mainan serta anak-anak patung, yang kemudian diletakkan di bahagian kaunter pembayaran.

Menurutnya lagi, melihat reaksi remaja itu yang agak luar biasa, iaitu mengambil barangan daripada rak jualan kemudian meletakkannya ke atas kaunter pembayaran sehingga penuh, beliau bertanya, apakah remaja itu benar-benar mahu membeli semua barang yang dipilihnya, dan remaja itu menjawab dia mempunyai duit dan mampu membayar semuanya dengan mendakwa suaminya bergaji besar sebulan lebih $5,000 selain turut mengeluarkan buku cek bank.

“Setelah meja kaunter penuh, remaja itu memberikannya sehelai cek yang dituliskan nama, yang katanya itu adalah namanya, dengan jumlah yang banyak, dan berkata, simpan dulu cek itu nanti duit akan datang,” kata pemilik kedai yang enggan disiarkan namanya.

Pengawal keselamatan ketika menyoal remaja perempuan tersebut.
Pengawal keselamatan ketika menyoal remaja perempuan tersebut.

Ceritanya lagi, remaja itu kemudian memberitahu dia hendak pergi ke kedai sebelah sekejap dan akan kembali lagi, tetapi hilang begitu sahaja.

“Apa yang kurang menyenangkan kami ialah longgokan barangan yang disimpannya di meja kaunter terpaksa kami uruskan dengan menyusun semula ke tempat asalnya, dan saya bertanya dengan pemilik kedai yang berdekatan, mereka turut memberitahu turut menjadi mangsa oleh remaja yang sama,” ujarnya.

Pada hari yang sama, pemilik sebuah kedai menjual minuman di pekan ini juga memberitahu mereka turut menjadi mangsa apabila remaja perempuan itu datang ke kedainya, dan memesan lebih 20 cawan minuman, dan memberitahu mereka, dia akan datang kembali mengambil pesanannya itu, tetapi menghilangkan diri.

“Kami tidak menyangka ia akan berlaku, melihat remaja itu nampak normal, dengan pakaian yang kemas, dan kami memenuhi pesanannya dengan membuatkan sejumlah 26 gelas minuman untuk Take Away,” kata pekerja di kedai berkenaan.

Bagaimanapun, sebuah kedai salon pula memberitahu, mereka telah didatangi remaja sama yang mahu rambutnya didandan, dan setelah siap rambutnya didandan dia hendak meninggalkan kedai, tetapi sempat ditahan oleh pemilik kedai salon itu.

ARTIKEL YANG SAMA