Bimbang rumah diancam hakisan

Bimbang rumah diancam hakisan

Oleh Normazlina M.D

TUTONG, 2 Feb – Sebuah keluarga di Kampung Danau menyuarakan kebimbangan apabila rumah mereka yang terletak berdekatan Pantai Danau diancam hakisan ombak yang berterusan tanpa ada pengawalan atau pembinaan tembok benteng, yang boleh memusnahkan rumah mereka pada bila-bila masa.

Pada masa ini, jarak tebing pantai dengan tembok rumah keluarga Haji Yunos bin Haji Yacob, lebih kurang 15 meter sahaja.

Perkara ini amat membimbangkan penghuni rumah sehingga ahli keluarga yang tinggal di sana tidak dapat tidur terutama jika hujan turun dan air pasang besar serta angin kencang yang mengakibatkan ombak besar lebih tiga meter tinggi menghempas pantai.

Salah seorang anak keluarga tersebut, Awang Shahrizal bin Haji Yunos memberitahu Media Permata, kejadian ini semakin serius setelah siapnya pembinaan benteng dari Tanjong Danau hingga ke pantai rumah mantan ketua Kampung Danau.

Anggota Bomba dan Penyelamat dari Balai Bomba Bukit Beruang dan Cawangan Operasi E melihat keadaan hakisan yang menimbulkan kebimbangan sebuah keluarga di Kampung Danau, Tutong.
Anggota Bomba dan Penyelamat dari Balai Bomba Bukit Beruang dan Cawangan Operasi E melihat keadaan hakisan yang menimbulkan kebimbangan sebuah keluarga di Kampung Danau, Tutong.
Hakisan ombak yang menyebabkan sebahagian rumah pekerja, stor, reban ayam dan kandang kambing runtuh.
Hakisan ombak yang menyebabkan sebahagian rumah pekerja, stor, reban ayam dan kandang kambing runtuh.

Setelah pembinaan benteng itu dilaksanakan oleh pihak tertentu, hakisan ini membentuk seakan teluk seperti “U” terutama di tebing pantai rumah Haji Yunus dan kejadian hakisan yang berterusan ini menyebabkan sebahagian rumah pekerja, stor dan sebahagian kawasan reban ayam serta kandang kambing runtuh baru-baru ini.

Sebelum kejadian itu, Haji Yunos telah menyuarakan dan membuat surat kepada pihak-pihak berkenaan agar dapat mengambil tindakan segera seperti membina tembok penghadang ombak berhampiran rumahnya.

Permohonan itu sudahpun dibuat lebih awal iaitu pada tahun 2008 dengan menghadapkan surat kepada pihak-pihak berkuasa dan permohonan itu telah dibuat hampir setiap tahun bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku.

Memandangkan perkara tersebut belum diambil tindakan yang serius, hakisan tersebut telah menyebabkan sebahagian rumah pekerjanya iaitu bahagian dapur dan tandas, stor dan kandang ayam dan kambing sudahpun runtuh.

Oleh itu, beliau melahirkan harapan agar pihak berkuasa akan dapat membantu membina tembok penghadang ombak segera demi keselamatan mereka, penduduk Kampung Danau dan persekitarannya terutama yang tinggal di persisiran Pantai Danau.

Sebelum ini, pihak berkuasa seperti Pejabat Daerah Tutong, Jabatan Kerja Raya, Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi (JASTRe), Jabatan Saluran dan Pembentungan, Jabatan Perikanan, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta pegawai kerajaan pernah membuat lawatan untuk menyaksikan secara dekat hakisan tanah terutama musim tengkujuh dan air pasang besar.

Semasa tinjauan di kawasan tersebut petang tadi, anggota Bomba dan Penyelamat dari Balai Bomba Bukit Beruang dan Cawangan Operasi E kelihatan hadir bagi membantu keluarga berkenaan, dengan diketuai oleh Penolong Pegawai Balai, Awang Rinald bin Tingang.

Menurut Awang Rinald yang menyaksikan kejadian tersebut, tidak lagi selamat bagi penghuni rumah untuk tinggal berdekatan dengan pantai setelah berlakunya hakisan ombak yang kuat terutama jika berlakunya air pasang.

Apa yang dibuat oleh anggota Bomba dan Penyelamat pada masa ini adalah memasang kanvas di tepi tebing pantai, namun memandangkan kejadian semakin membimbangkan, Awang Rinald menekankan bahawa memasang kanvas di persisiran tersebut adalah tidak mencukupi.

Beliau menasihati penghuni rumah agar sentiasa berjaga-jaga dan disarankan berpindah buat sementara bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku.

ARTIKEL YANG SAMA