Bimbingan bagi MPK ke separuh akhir AKC 2015

Bimbingan bagi MPK ke separuh akhir AKC 2015

Oleh Ampuan Irma Susanti

 

TEMBURONG, 5 Okt – Ahli-ahli jawatankuasa dari enam majlis perundingan kampung (MPK) di Daerah Temburong yang terpilih ke separuh akhir Anugerah Kampung Cemerlang 2015, hari ini, telah menghadiri sesi bimbingan yang dikendalikan oleh Jabatan Daerah Temburong dengan kerjasama Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) di Dewan Utama Kompleks Dewan Kemasyarakatan Daerah Temburong.

Sesi bimbingan ini bertujuan untuk memberikan penjelasan sekali gus membimbing ahli-ahli MPK dari aspek pembentangan, persediaan-persediaan sebelum penghakiman dijalankan.

Dalam sesi itu, taklimat telah disampaikan oleh pegawai-pegawai dari Bahagian Institusi Penghulu Mukim dan Kampung, Jabatan Daerah Temburong dan Pegawai Projek, KHEDN selaku urus setia AKC, Awang Ahmad Fazil bin Zakaria.

Awang Ahmad Fazil menyatakan harapan bahawa dengan adanya taklimat berkenaan, semua ahli-ahli MPK yang terpilih akan lebih bersedia terutama sekali dalam perkara-perkara yang diambil kira sebagai kriteria-kriteria penghakiman agar dapat disediakan dan dibuktikan secara lebih jelas kepada panel hakim nanti.

Awang Ahmad Fazil menyampaikan taklimat semasa sesi bimbingan di Daerah Temburong, kelmarin.
Awang Ahmad Fazil menyampaikan taklimat semasa sesi bimbingan di Daerah Temburong, kelmarin.

Beliau juga melahirkan harapan agar prestasi kampung-kampung akan dapat dilihat secara lebih menyeluruh dengan markah-markah penghakiman yang lebih baik berbanding penghakiman semasa pemilihan awal pada peringkat pertama.

Sesi bimbingan seumpamanya juga akan diadakan di Daerah Belait esok (6 Okt), 7 Okt di Daerah Brunei dan Muara serta di Daerah Tutong pada 8 Oktober.

Sebanyak 30 MPK di seluruh negara yang terpilih akan dihakimkan pada awal November ini nanti, iaitu 12 buah kampung mewakili Daerah dan Brunei Muara, Daerah Belait sebanyak lapan buah kampung, empat dari Daerah Tutong dan enam lagi dari Daerah Temburong iaitu MPK Belais dan Buda-Buda, MPK Batu Apoi, MPK Sibut, MPK Lepong, MPK Menengah dan MPK Senukoh.

ARTIKEL YANG SAMA