Bimbingan mencari kebahagiaan abadi

Bimbingan mencari kebahagiaan abadi

Oleh Siti Nur Wasimah S.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Sept – Lebih 50 orang Muslimah telah menghadiri Forum Bicara An-Nisa Siri ke-2: ‘Ultimate Success and Happiness’ yang berlangsung di Masjid Sultan Sharif Ali, Kampung Sengkurong, petang tadi.

Forum ini telah menampilkan tiga orang ahli panel yang terdiri daripada Pensyarah Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Dr. Lily Suzana binti Haji Shamsu; Pegawai Perubatan Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS), Dr. Dayangku Masdiana Nabila Muliati binti Pengiran Haji Mohd Tahir dan Pegawai Perubatan RIPAS, Dr. Nur Sadrina binti Haji Marsidi dengan dipengerusikan oleh Dr. Hajah Ummi Fai’zah binti Haji Abdul Rahman.

Tajuk forum ini dipilih adalah sebagai langkah bagi menyahut seruan kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia dalam menghasilkan sebuah Negara Zikir yang mana peranan seorang wanita itu tidak lagi dapat disangkal, memainkan peranan penting dalam melahirkan sebuah generasi penerus.

Dr. Lily Suzana semasa forum itu menyentuh mengenai pengertian kebahagiaan dan kejayaan bagi seseorang individu di dunia ini.

Menurutnya, kebahagiaan itu dicapai dalam pelbagai keadaan yang berbeza seperti jika seseorang itu mendapat hadiah ataupun mendapat berita gembira, mereka pasti akan merasa bahagia.

Barisan ahli panel Forum Bicara An-Nisa Siri ke-2 yang berlangsung di Masjid Sultan Sharif Ali, Kampung Sengkurong, kelmarin.
Barisan ahli panel Forum Bicara An-Nisa Siri ke-2 yang berlangsung di Masjid Sultan Sharif Ali, Kampung Sengkurong, kelmarin.

Namun, jelasnya lagi, umat Islam harus peka bahawa kebahagiaan di dunia ini hanyalah sementara dan tidak akan berkekalan kerana ia hanya dilihat pada zahirnya.

Sebagai seorang Muslimah, beliau menyeru agar percaya akan kehebatan Allah S.W.T bahawa setiap dugaan itu pasti akan ada hikmahnya dan akan membawa kepada kebahagiaan dan kejayaan di dunia serta di akhirat.

Manakala itu, Dr Dayangku Masdiana Nabila Muliati pula menyentuh mengenai cara-cara untuk mendapatkan kebahagiaan dan kejayaan dalam kehidupan seorang manusia.

Menurutnya, salah satu sifat yang paling penting dalam mencapai kebahagiaan itu adalah dengan melakukan apa yang betul untuk mendapatkan keredaan Allah S.W.T iaitu seperti memasang niat yang betul setiap hari.

Jika seseorang individu itu mempunyai niat dan mengetahui bahawa peranan dan tujuan hidupnya hanya untuk mendapatkan keredaan dari Allah S.W.T maka mereka akan mendapatkan ketenteraman hidup yang diingini, ujarnya.

Forum antara lain turut mengongsikan tip-tip pembahagian masa agar menjadi seorang wanita yang berjaya di dunia dan akhirat serta cara-cara berhadapan dengan masalah, tekanan tempat kerja dan juga di rumah.

Forum Bicara An-Nisa Siri ke-2 ini merupakan anjuran Kumpulan Syababul Iman Masjid Sultan Sharif Ali, Kampung Sengkurong.

ARTIKEL YANG SAMA