BIMP-EAGA fokus lima teras

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Feb – Perwakilan sektor kerajaan dan swasta yang penting dari sub rantau empat buah negara BIMP-EAGA akan bersidang esok untuk mesyuarat perancangan strategik tahunan kumpulan berkenaan bagi merancang program-program di bawah wawasan 2025.

Diadakan di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, Mesyuarat Perancangan Strategik BIMP-EAGA 2018 akan mengetengahkan lima teras pembangunan sub rantau berkenaan yang termasuk kesalinghubungan, ‘food basket’, alam sekitar, pelancongan serta sosiobudaya dan pendidikan.

“Mesyuarat tahun ini memfokuskan kepada mengkonkritkan langkah-langkah untuk mengoperasikan strategi-strategi di bawah Wawasan BIMP-EAGA 2025 yang diterima oleh ketua-ketua negara semasa Sidang Kemuncak Pemimpin-pemimpin EAGA di Manila tahun lalu,” ujar Timbalan Pengarah Eksekutif Pihak Berkuasa Pembangunan Mindanao (MinDA), Pembantu Setiausaha Romeo M. Montenegro yang berkhidmat di Pejabat Penyelarasan Filipina bagi BIMP-EAGA.

Beliau berkata bahawa mesyuarat perancangan strategik Brunei akan menjadikan strategi-strategi di bawah Wawasan BIMP-EAGA 2025 sebagai keutamaan dan menukarnya kepada program-program dan projek yang boleh dilakukan bagi lima teras atau kelompok berkenaan yang direka untuk meningkatkan perdagangan, pelaburan dan pelancongan.

Tambahnya lagi, beberapa projek yang dikenal pasti termasuk penubuhan perhubungan udara dan laut yang baru, penyambungan tenaga dan pembangunan tenaga boleh diperbaharui rentas sempadan, pembangunan perniagaan tani, urusan pemudahan perdagangan yang lebih baik, pertukaran-pertukaran sosiobudaya, ekopelancongan dan pembangunan bandar-bandar hijau.

“Projek-projek kluster dan penumpuan akan dibentangkan kepada pegawai-pegawai kanan semasa mesyuarat itu di mana kami juga menjangkakan panduan dan arahan untuk memastikan pelaksanaan dan kolaborasi dengan sektor swasta,” ujarnya.

Susulan pelancaran Laluan Perkapalan Davao-General Santos-Bitung RoRo pada April tahun lalu, satu lagi laluan Buliluyan, Palawan-Kudat, Malaysia RoRo dijangka dibuka bulan depan.

Cadangan penerbangan langsung Zamboanga-Sandakan juga dilihat akan bermula dalam masa separuh pertama tahun ini.

“Ketika berdepan cabaran-cabaran, BIMP-EAGA terus menjadi inisiatif penting yang menunjukkan kebolehan untuk mencapai integrasi sosioekonomi dari bawah dengan rantau ASEAN,” menurut Pengerusi MinDA dan Menteri Penandatanganan EAGA-Filipina, Setiausaha Datu Abul Khayr Alonto semasa taklimat ringkas baru-baru ini bersama Jawatankuasa Khas Dewan mengenai Hal Ehwal EAGA di Kongres Filipina.